WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan Menteri Luar Brazil Buka Lembaran Baharu Dalam Hubungan Dengan Malaysia

25/08/2024 04:39 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brazil Mauro Vieira pada Ahad di Wisma Putra.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak meneliti dan membincangkan kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Brazil yang merentasi pelbagai bidang.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan itu merangkumi pelbagai topik, termasuk perdagangan dan pelaburan; industri Halal; kesihatan; sains, teknologi dan inovasi; hubungan antara rakyat dan pembangunan keupayaan serta pertukaran lawatan di peringkat tertinggi.

Kementerian Luar berkata kedua-dua menteri itu turut bertukar-tukar pandangan untuk meningkatkan kerjasama menerusi forum serantau dan pelbagai hala, termasuk ASEAN, BRICS, Kumpulan 20 atau G20 dan Persidangan ke-30 Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC). 

"Kedua-dua menteri luar turut menyentuh secara ringkas tentang perkembangan antarabangsa, termasuk situasi di Gaza dan konflik Rusia-Ukraine.

"Menteri Vieira juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Seri Perdana untuk membincangkan lebih lanjut mengenai hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brazil,” menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Luar, perbincangan mereka tertumpu kepada lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brazil pada November 2024, serta aspirasi Malaysia untuk menyertai BRICS dengan Vieira mengalu-alukan permohonan Malaysia dan memberi jaminan kepada Perdana Menteri mengenai sokongan Brazil.

Kementerian itu berkata lawatan berkenaan secara keseluruhan telah membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia-Brazil dalam usaha mengukuhkan kerjasama yang terjalin sejak 1959.

Brazil terus menjadi rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin. 

Pada 2023, Malaysia dan Brazil mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM17.46 bilion iaitu peningkatan sebanyak empat peratus berbanding RM16.86 bilion yang dicatatkan pada 2022.

Lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dari 24 hingga 25 Ogos menandakan lawatan pertama Vieira ke negara ini sebagai Menteri Luar sejak memegang jawatan itu pada 1 Jan 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan