WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Harap Dipertimbang Sebagai Rakan Dalam Brics - Mohamad

25/08/2024 08:51 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia berharap dapat dipertimbangkan untuk diterima masuk sebagai rakan terlebih dahulu dalam kumpulan BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata itu antara perkara yang dibangkitkan pada pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Brazil Mauro Vieira yang kini dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

“Pada ketika ini, BRICS ini mereka telah pun ada anggota baharu tahun ini. Mereka nak hadamkan dulu untuk mengurus anggota baharu ini dan mereka ada satu sistem macam ASEAN, kita ada rakan dialog.

“Dia akan ada rakan BRICS. Mereka melihat ini, kalau Malaysia pun dipertimbangkan (sertai BRICS), kita akan masuk ke peringkat rakan dahulu. Itu pun sudah mencukupi rasanya untuk kita ada mengadakan hubungan antara Malaysia dan BRICS,” katanya.

 Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas kunjungan hormat Vieira ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung hampir satu jam di Seri Perdana di sini hari ini. 

Menurut Mohamad, beliau juga telah membangkitkan surat Malaysia bagi menganggotai kumpulan BRICS kepada Vieira.

“Tahun depan, Brazil akan jadi presiden untuk BRICS dan kita mahu supaya jemputan daripada Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva kepada Perdana Menteri untuk Malaysia menganggotai BRICS itu dapat diterjemahkan,” katanya.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun terdiri daripada Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu.

Pada 18 Jun, Anwar mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil.

Sementara itu, Mohamad berkata Malaysia mahu mempertingkatkan lagi hubungan dua hala dengan Brazil merangkumi pelbagai aspek antaranya pelajaran, pertanian dan perdagangan.

“Dari segi pelajaran, kita juga akan menerokai bagaimana kita boleh buat pertukaran pelajar dan juga pertukaran tenaga pengajar antara Brazil dan Malaysia, banyak perkara yang kita perlu lakukan.

“Mereka menguasai bidang penyelidikan, penyelidikan mereka amat bagus, mereka banyak saintis dan ini juga nak kita terokai untuk Malaysia dapat mengambil banyak pengajaran daripada kepakaran mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan