WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Bangun KUSEL Untuk Selaras, Susun Sistem Pemetaan Utiliti Bawah Tanah - MB

25/08/2024 09:09 PM

SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Selangor telah membangunkan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) sejak 2020 bagi menyelaras dan menyusun sistem pemetaan utiliti di bawah tanah negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata KUSEL juga bertujuan mengetahui dan mengenal pasti sebarang insiden luar jangka yang berlaku di bawah tanah di Selangor.

“Penubuhan KUSEL ini adalah untuk kita mengetahui secara khusus apakah utiliti yang ada di bawah jalan atau tanah dalam tempat kita,” katanya ketika ditanya mengenai perancangan dan persediaan Kerajaan Negeri Selangor susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam hari ini.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Amirudin juga berkata insiden itu adalah peringatan kepada semua khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Kita kena siap siaga. Tidak boleh membuat kesimpulan terlalu awal (berhubung insiden itu). Yang penting bagi kita ialah beri perkhidmatan terbaik dan jamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Jumaat lepas, mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi.

Wanita itu, yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian. 

KUSEL ditubuhkan pada 18 Dis 2020 sebagai badan penyelaras dan penyelia utiliti Selangor di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Pelantikan KUSEL bertujuan membantu dan memudah cara pihak berkuasa negeri, PBT dan pihak berkuasa jalan dalam perancangan kemudahan awam serta laluan utiliti sama ada di lokasi sedia ada atau dalam kawasan pemajuan baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan