WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penganjuran MSAM 2024 Catat Lebih 100,000 Pengunjung

26/08/2024 12:41 AM

SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) di sini yang berlangsung selama empat hari bermula 22 Ogos merekodkan kehadiran lebih 100,000 pengunjung.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata penganjuran program tahunan itu bukan sahaja menarik pengunjung khususnya golongan belia dari Shah Alam malah dari seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan Johor.

Beliau berkata perkara itu dianggap positif dalam merealisasikan usaha pihaknya melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan menerusi karnival itu.

“Kami di PNB bersyukur kerana MSAM kali ini menarik minat pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, tambahan pula ini adalah pertama kali karnival ini dianjurkan di Selangor. 

“Ini merupakan suatu perkembangan yang positif dan membantu usaha PNB untuk melahirkan lebih ramai dalam masyarakat khususnya generasi muda agar celik pelaburan,” katanya dalam kenyataan.  

Bersesuaian dengan tema MSAM kali ini ‘Kukuhkan Hidup Anda di MSAM’, Raja Arshad berharap pengunjung yang datang dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman yang berguna.

MSAM 2024 yang berlangsung sejak Khamis melabuhkan tirai hari ini dengan majlis penutupan dilaksanakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, petang tadi.

Penganjuran karnival yang diadakan sejak 23 tahun lepas itu merupakan sebahagian daripada komitmen kepada pemegang unit untuk pelaburan sosial dalam pendidikan, peningkatan komuniti, literasi kewangan selain inisiatif perkongsian ilmu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan