WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KD Pendekar Milik TLDM Tenggelam Sepenuhnya, 39 Kru Selamat

25/08/2024 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kapal Diraja (KD) Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengalami kebocoran dan kebanjiran besar di kedudukan dua batu nautika di Tenggara Tanjung Penyusop, Johor tenggelam sepenuhnya pada jam 3.54 petang. 

TLDM dalam kenyataan memaklumkan usaha pantas komuniti maritim bagaimanapun telah berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD Pendekar sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor,” menurut kenyataan itu.

TLDM memaklumkan usaha menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan, selain aset TLDM juga ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran. 

TLDM terdahulu mengesahkan KD Pendekar mengalami kebocoran dan kebanjiran besar  disebabkan terlanggar objek bawah air ketika sedang melaksanakan penugasan operasi jam 12 tengah hari tadi.

Susulan itu, TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenal pasti punca kejadian.

TLDM juga menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah dan perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi pasukan keselamatan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan