WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inisiatif Tingkat Kesedaran Berkoperasi Dalam Masyarakat Diperluaskan - Ewon

25/08/2024 10:20 PM

KOTA BELUD, 25 Ogos (Bernama) -- Inisiatif untuk meningkatkan kesedaran berkoperasi dalam kalangan masyarakat akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi penganjuran lebih banyak Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi (MASKOP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata penganjuran MASKOP  diharap membuka minda masyarakat mengenai manfaat melalui penubuhan koperasi, sama ada koperasi keluarga, komuniti atau yang berskala besar.

“Ia juga membolehkan masyarakat itu memupuk semangat bekerjasama dan memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh komuniti yang menjadi anggota koperasi mereka," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan MASKOP Zon Tamu Darat, Kadamaian di sini hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata program-program kesedaran berkoperasi yang dilaksanakan telah membuahkan hasil positif dengan peningkatan jumlah koperasi baharu yang didaftarkan di seluruh negara. 

“Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 1,001 koperasi baharu telah didaftarkan, jumlah tertinggi dalam sejarah pendaftaran tahunan koperasi di Malaysia, berbanding tahun-tahun sebelumnya yang tidak pernah mencecah angka 1,000 pendaftaran koperasi baharu dalam satu tahun," katanya.

Ewon berkata melihat kepada sambutan yang memberangsangkan itu, kementeriannya merancang untuk meneruskan program kesedaran berkoperasi di seluruh negara. 

"Matlamat utama bukan sahaja meningkatkan bilangan koperasi baharu tetapi juga memperkasa koperasi sedia ada. Ini termasuk mengembangkan perniagaan dan perkhidmatan koperasi serta mengaktifkan semula koperasi-koperasi lama yang belum berfungsi secara aktif," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan