WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Tahan Lima Individu, Sita 1.6 Juta Liter Diesel Dan Wang Tunai RM3.7 Juta

25/08/2024 10:50 PM

KUALA LUMPUR 25 Ogos (Bernama) -- Lima individu ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika hadir memberikan keterangan pada jam 4 petang tadi.

Katanya, menerusi siasatan dan risikan SPRM, sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak 2012 itu telah mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu. 

Katanya serbuan di sebuah depoh penyimpanan minyak yang terletak di Sungai Bidut turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan turut menyita dua tongkang, serta 30 tangki minyak membabitkan 1.6 juta liter diesel serta wang tunai RM3.7 juta.

"Mereka yang ditahan ini adalah empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel itu serta seorang orang tengah yang dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar.

"Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah," katanya.

Beliau berkata sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan. 

"Kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,"  katanya. 

Menurut Azam kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan