WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Tiba Di Brunei Untuk Lawatan Kerja Dua Hari

25/08/2024 11:06 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 Malaysia dan Brunei, satu mekanisme peringkat tertinggi dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 9.30 malam dan ketibaan beliau disambut oleh Kuasa Usaha Sementara Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Nur Ezira Mahadi.

Turut menyambut ketibaan Anwar ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi II Brunei Dato Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah serta Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.

Esok, Perdana Menteri dijadual menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan mengadakan pertemuan empat mata di Istana Nurul Iman di sini.

Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan untuk menyaksikan bersama Anwar pemeteraian beberapa instrumen dua hala termasuk yang melibatkan sempadan darat.

Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan semasa rundingan itu, kedua-dua pemimpin akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala serta isu yang tertunggak.

 “Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Rundingan ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan,” menurut kenyataan itu. 

Pada 2023, Brunei adalah rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan RM9.31 bilion (US$2.04 bilion). 

Jumlah eksport ke Brunei pada tahun lepas bernilai RM6.4 bilion (US$1.4 bilion) manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (US$0.64 bilion).

Jumlah lebihan dagangan pula berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (US$0.76 bilion).

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion (US$0.75 bilion) dengan Brunei. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan