WILAYAH - SELATAN > BERITA

42 Ditahan Dalam Op Khas Mabuk Di Johor

26/08/2024 11:57 AM

JOHOR BAHRU, 26 Ogos (Bernama) -- Polis menahan 42 individu dalam Op Khas Mabuk yang dijalankan serentak di seluruh Johor dari Jumaat hingga semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 40 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 25 hingga 68 tahun.

Beliau berkata 41 daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala seorang lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Seramai 1,824 individu serta 1,585 kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu yang menyaksikan 625 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor akan terus giat menjalankan Op Mabuk dalam usaha memastikan kesalahan terbabit dapat dibendung secara berterusan, melalui pendekatan konsep  penguatkuasaan penuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dalam kenyataaan berasingan berkata pihaknya telah mengeluarkan 153 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Samseng yang dijalankan bermula 5 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

Beliau berkata operasi itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sekitar Jalan Skudai-Pantai Lido di sini.

“Seramai 286 individu serta 257 kenderaan telah diperiksa dengan sebanyak 115 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan