WILAYAH - SARAWAK > BERITA

300 Pelajar Di Selangor Sertai MNRB Ringgit Savvy Sempena MSAM 2024

26/08/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Hampir 300 pelajar sekolah menengah di sekitar Selangor menyertai program ‘MNRB Ringgit Savvy’ yang diadakan bersempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Setia Alam, Selangor.

MNRB Holdings Berhad (MNRB) dalam kenyataan menyebut program celik kewangan itu antara usaha untuk menyokong objektif MSAM iaitu mendidik masyarakat mengenai pelaburan dan perancangan kewangan.

“Program MNRB Ringgit Savvy ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai hal-hal berkaitan pengurusan kewangan seperti pelaburan, perlindungan takaful dan tanggungjawab kewangan yang lain, sekali gus mendidik dan menerapkan minat pengurusan wang yang bijak dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.

Program itu mengetengahkan permainan interaktif iaitu MNRB Ringgit Journey bagi menerapkan realiti dan cabaran pengurusan kewangan selepas alam persekolahan dengan menonjolkan soalan-soalan yang menguji keupayaan dan kepintaran pelajar dalam membuat keputusan berkaitan kaedah pengurusan wang serta semangat kerjasama berpasukan.

Permainan interaktif berkenaan menerapkan tema Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam serta Sekolah Agama Menengah (SAM) Tengku Ampuan Jemaah diumumkan sebagai juara.

Menurut kenyataan itu, program sama juga diadakan di SMK Ungku Aziz, Sabak Bernam baru-baru ini sebagai acara pra-MSAM dengan hampir 200 pelajar mengambil bahagian dalam permainan MNRB Ringgit Journey.

MNRB turut menyumbangkan televisyen pintar untuk dewan kuliah SMK Ungku Aziz bagi meningkatkan mutu pembelajaran pelajar yang disempurnakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad bagi pihak Kumpulan MNRB Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.

Bersempena MSAM 2024, MNRB turut menganjurkan program MNRB Bijak Menabung di Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 3 bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar sekolah rendah untuk menyemai budaya menabung dari usia muda.

“Bagi memeriahkan suasana di SK Puchong Utama 3, program ini turut membawakan penampilan istimewa Didi & Friends serta karnival STEM,” menurut kenyataan itu.

MSAM berlangsung dari 22 hingga 25 Ogos di Shah Alam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan