WILAYAH - UTARA > BERITA

Polis P.Pinang Tahan Lima Lelaki, Rampas Syabu Lebih RM1 Juta

26/08/2024 06:18 PM

GEORGE TOWN,  26 Ogos (Bernama) -- Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan lima lelaki dan merampas dadah jenis syabu dalam bungkusan ‘teh cina’ bernilai RM1.037 juta, dalam tiga serbuan di sekitar negeri itu, pada Selasa dan Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontijen Pulau Pinang, telah menjalankan operasi terancang dan membuat tiga serbuan sebelum menahan empat lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lima lelaki berusia 23 hingga 40 tahun itu, merupakan ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang didalangi seorang lelaki warga asing.

“Susulan penahanan lima lelaki itu dan pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik mereka, polis merampas 30 bungkusan plastik warna keemasan yang tertulis ‘teh cina’, mengandungi 31.410 kilogram syabu bernilai RM1.037 juta.

“Berdasarkan siasatan sindiket itu bergiat aktif di Pulau Pinang dan Kedah, serta mereka yang terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata hasil risikan mendapati sindiket itu bergiat aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Januari dan mereka mengedar syabu tersebut hanya untuk pasaran serta edaran di luar negara.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan mengambil upah menghantar syabu dari pengedar tempatan ke pasaran negara jiran, menggunakan jalan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Difahamkan sindiket itu mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit bagi setiap perjalanan menghantar syabu tersebut ke negara jiran dan mereka menjalankan urusniaga tersebut pada waktu malam.

“Kesemua dadah yang dirampas dalam siri serbuan itu boleh digunakan 150,000 penagih atau 150,000 penggunaan,” katanya pihaknya juga sedang giat mengesan rangkaian sindiket tersebut.

Hamzah berkata susulan penahanan lima lelaki itu, polis turut menyita dua buah kereta dan sebuah motosikal bernilai RM26,500 serta wang tunai sebanyak RM4,000.

“Ujian air kencing mendapati lima lelaki itu negatif dadah dan mereka juga tidak mempunyai rekod lampau, kesemua suspek kini direman tujuh hari sehingga 27 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan