WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Reformasi Perkhidmatan Awam Mampu Bantu Lawan Rasuah - KP SPRM

26/08/2024 07:04 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu reformasi dilaksanakan dalam perkhidmatan awam mampu membantu usaha melawan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata negara perlu melakukan reformasi perkhidmatan awam selari dengan kepesatan ekonomi agar penyampaian perkhidmatan berkualiti dinikmati rakyat.

Beliau berkata semua pihak perlu melakukan reformasi terhadap sistem, undang-undang dan pendekatan agar sistem perkhidmatan itu dapat disampaikan kepada rakyat dengan baik.

Mengambil contoh kejayaan Qatar dalam melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pembayaran kompaun trafik ke arah digital, beliau berkata Malaysia juga perlu melangkah ke arah itu yang bukan sahaja efisien, tetapi mampu membanteras rasuah.

"Cabaran sekarang semua ketua jabatan, ketua setiausaha kena lihat dalaman tentang prosedur dan tatakelola yang lama dan perlu diperbaharui dan tidak menyusahkan rakyat dan kebertanggungjawaban pemegang taruh untuk pastikan sistem penyampaian mereka," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Beliau berkata undang-undang negara dan prosedur tatakelola yang telah lapuk perlu diperbaharui semula agar ia tidak menyekat pembangunan negara serta selari dengan peredaran masa.

Azam memberi contoh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mengambil langkah meminda undang-undang berkaitan pemunyaan benefisial tentang keperluan syarikat untuk isytihar kepentingan mereka dalam mana-mana pegangan dalam syarikat lain.

Ketua Pesuruhjaya itu berkata undang-undang pembaharuan lain ke arah lebih efektif dalam sistem penyampaian termasuk Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat.

Beliau berkata kenaikan gaji itu boleh dijadikan salah satu penyumbang kepada pendapatan mencukupi, namun ia tidak bermakna sekiranya penjawat awam tidak tahu mengurus kewangan dan hidup mengikut kehendak serta melebihi pendapatan.

Sekiranya kenaikan gaji tidak diurus dengan baik, beliau berkata sebesar mana pendapatan seseorang itu, ia masih tidak mencukupi, dan akan menyebabkan mereka mencari peluang dan ruang untuk melakukan perkara-perkara lain untuk meraih pendapatan.

Azam berkata beliau mengambil tindakan tegas terhadap pegawai SPRM yang berpangkat sekiranya membuat kerja di luar seperti perkhidmatan e-hailing, kerana pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa menjalankan penyiasatan tidak seharusnya terlibat dalam kerja luar, sebaliknya perlu fokus berkhidmat kepada masyarakat.

Beliau berkata sehubungan itu budaya menabung dan mengurus perbelanjaan secara berhemah penting untuk masa depan.

"Kalau dulu masa saya (baru) kerja, kita diajar menyimpan wang setidak-tidaknya dalam koperasi, Tabung Haji, ASB. Saya khuatir sekarang ini masyarakat tidak menyimpan lagi jadi budaya menyimpan itu dah kurang," katanya.

Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengumumkan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) ketika Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-19 dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam di Malaysia.

SSPA menjanjikan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus kepada kumpulan pelaksana, dan tujuh peratus kepada pengurusan tertinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan