WILAYAH - TIMUR > BERITA

Terengganu Jadi Lokasi Baharu DE Rantau

26/08/2024 08:16 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Terengganu kini menjadi lokasi baharu DE Rantau oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selepas Pulau Pinang, Langkawi, Melaka, Kuala Lumpur dan Perak sejak ia diperkenalkan pada 2022.

MDEC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tawaran gabungan unik pantai, warisan budaya dan kecantikan alam semula jadi menjadikan Terengganu sebagai lokasi pilihan nomad digital. 

“Program DE Rantau bertujuan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan nomad digital di Asia Tenggara sambil memacu penerimaan digital dan pelancongan di seluruh negara.

“Pas DE Rantau Nomad, iaitu satu kemudahan imigresen yang dicipta khusus untuk nomad digital dari luar negara juga telah dipertingkatkan dengan ia kini boleh dipohon golongan profesional yang bekerja dalam bidang selain teknologi untuk bekerja secara jarak jauh dari Malaysia sambil melancong,” menurut kenyataan itu. 

MDEC memaklumkan syarat untuk mengemukakan Jaminan Bank bagi warganegara China dan Bangladesh juga telah digantikan dengan pilihan sama ada bon keselamatan atau bon peribadi. 

Penyesuaian itu, katanya mencerminkan komitmen MDEC dalam menjadikan Malaysia lebih mudah diakses dan mesra kepada nomad digital global selain menambah Pas DE Rantau Nomad setakat ini telah menerima lebih daripada 3,500 permohonan dengan 1,741 yang telah diluluskan.

“Program ini menawarkan ekosistem dinamik dengan 2,183 hab DE Rantau iaitu pelbagai jenis tempat penginapan yang disahkan MDEC sebagai strategik dan selamat, mempunyai rangkaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pelbagai kemudahan lain.

“MDEC juga telah bekerjasama dengan 16 Rakan Ekosistem DE Rantau dalam pelbagai sektor seperti pengangkutan, pelancongan, perkhidmatan pembayaran tanpa tunai, penjagaan kesihatan, insurans dan ruang kerja bersama,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan