WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Usaha Bantu Rakyat Palestin Cedera Wajar Disokong - ABIM

27/08/2024 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Usaha murni kerajaan membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia untuk diberikan rawatan tidak seharusnya dipersoal, sebaliknya perlu diberikan sokongan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata ketegasan Malaysia menyuarakan nasib rakyat Palestin di pentas antarabangsa nyata bukan omong kosong apabila mengambil langkah berani itu pada saat dunia tidak memberikan layanan yang adil kepada rakyat Palestin.

“Malaysia menyahut seruan dengan menggunakan segala kapasiti yang boleh. Pemimpin kita tidak hanya menyuarakan hak kebebasan Palestin di pentas dunia sahaja, bahkan membawa mereka yang cedera ke sini untuk dirawat.

“Ini adalah ruang yang boleh kita tawarkan dan ini wajar diberikan sokongan,” katanya dalam program Jendela Fikir: Solidariti dan Keprihatinan Kerajaan MADANI Terhadap Rakyat Palestin terbitan Bernama Radio hari ini.

Dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia membawa 41 rakyat Palestin yang cedera dan 86 waris mereka, tiba di Pangkalan Udara Subang kira-kira 2 petang pada 16 Ogos lepas.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah membawa rakyat Palestin yang cedera untuk dirawat di negara ini.

Anwar berkata ada dalam kalangan mereka sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia merupakan tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan