WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program Santuni Madani JPJ Fokus Pembudayaan Peraturan, Keselamatan Jalan Raya

27/08/2024 06:13 PM

ALOR SETAR, 27 Ogos (Bernama) -- Penerapan budaya pematuhan peraturan dan advokasi keselamatan jalan raya menjadi fokus utama pengisian Program Santuni MADANI Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata fokus itu selari dengan peranan jabatan tersebut serta ke arah mencapai sasaran pengurangan statistik kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2030.

“Program Santuni MADANI - Satu Pemimpin Satu Kampung merupakan program khas yang diperkenalkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai usaha meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat menerusi libat urus berterusan serta pemantauan berkala.

“JPJ antara jabatan terawal dan telah menggerakkan Program Santuni MADANI JPJ yang pertama hari ini dalam usaha memperkasakan sosioekonomi penduduk menerusi peningkatan advokasi keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program itu di Kampung Alor Senjaya di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi program itu JPJ telah menyediakan program khusus keselamatan jalan raya antaranya pemeriksaan motosikal, pertukaran topi keledar, perkhidmatan kaunter bergerak JPJ Mobile dan pemeriksaan kesihatan.

Aedy Fadly berkata program tersebut melibatkan kerjasama strategik dengan jabatan dan agensi yang berkaitan antaranya Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Jabatan Penerangan Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan Komuniti Kampung Alor Senjaya.

“JPJ komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan kepada rakyat selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan