WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lawatan Kerja Anwar Signifikan Tingkat Hubungan Malaysia, Brunei

27/08/2024 01:31 PM

Daripada Fadzli Ramli

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Ogos (Bernama) -- Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brunei sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 antara Malaysia dan Brunei yang berakhir semalam dilihat cukup signifikan dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Menerusi lawatan kerja itu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Anwar mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutama pelancongan, pendidikan, pelaburan, sastera, teknologi, dan ketenteraan.

Dalam sidang media sebelum pulang ke Kuala Lumpur semalam, Anwar memberitahu pendekatan baharu hubungan kedua-dua negara berteras daripada dua aspek iaitu meningkatkan hubungan dalam apa sahaja bidang yang mungkin, dan hubungan langsung bergantung kepada keputusan kerajaan Persekutan.

Beliau berkata hubungan langsung Brunei dengan dua negeri berjiran Malaysia iaitu Sabah dan Sarawak dilihat praktikal kerana mempunyai sempadan sama, dan ia mampu memperkasa pelbagai sektor terutama pengangkutan dan pelancongan seterusnya memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara.

Anwar juga menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan Sultan Hassanal Bolkiah kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam usaha carigali dan pengeluaran minyak serta gas di Brunei, yang menurutnya mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.

Dalam memperkatakan hubungan erat, Anwar menjunjung kasih kepada Sultan Hassanal Bolkiah atas keakraban peribadi kedua-dua pemimpin, dan keakraban itu cukup bermakna, terutama dalam usaha mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei.

Anwar jelas tersentuh apabila baginda berkenan berangkat ke Kuala Lumpur bagi memberikan sokongan tanpa undangan rasmi pada 28 Nov 2022, hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 di Istana Nurul Iman di sini semalam juga menyaksikan tiga dokumen dua hala dimeterai antara Malaysia dan Brunei.

Menurut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengiringi Anwar dalam rundingan itu, dokumen pertama ialah Memorandum Persefahaman (MoU) Fasa Pertama melibatkan persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei.

Dokumen kedua pula melibatkan MoU dalam bidang pengangkutan bagi kerjasama penerbangan membabitkan Brunei, Sabah dan Sarawak yang signifikan dalam usaha meningkatkan sektor pelancongan di kawasan terbabit.

Dokumen ketiga Pertukaran Nota itu melibatkan akses maritim antara Malaysia dan Brunei dengan kedua-dua negara bersetuju menubuhkan jawatankuasa sementara bagi menyelaras perkara berkenaan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang turut mengiringi Anwar dalam rundingan itu memaklumkan bahawa kerjasama Malaysia dan Brunei yang berjaya ditingkatkan, dilihat saling menguntungkan kedua-dua negara.

Beliau berkata Sabah juga mendapat limpahan manfaat signifikan dalam hubungan erat Malaysia dan Brunei itu.

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan kerja itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Malaysia dan Brunei menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-40 pada tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan