WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nuklear Malaysia Komited Arus Perdanakan Teknologi Nuklear, Tingkat Daya Saing Industri

27/08/2024 09:41 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) komited dalam mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memelihara sumber asli dan alam sekitar.

Nuklear Malaysia dalam kenyataan memaklumkan jaringan kerjasama strategik bersama pemain industri dan pihak berkepentingan akan memanfaatkan penggunaan teknologi nukler sekali gus menyokong pertumbuhan sosioekonomi negara.

Sehubungan itu, Program Seminar R&D dan Hari Inovasi Nuklear Malaysia 2024 yang bermula hari ini hingga Khamis dapat mendorong kolaborasi kepakaran dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan merentasi pelbagai bidang serta aplikasi sains dan teknologi nuklear, menurut agensi itu.

“Objektif utama program ini adalah menyediakan platform bagi menemukan penyelidik, pencipta, profesional serta pihak industri untuk berkongsi pengetahuan mengenai produk dan hasil R&D, penemuan inovasi dan penyelesaian terkini melalui teknologi nuklear dalam pelbagai sektor.

“Antara aktiviti utama pengisian program ini termasuklah sesi pembentangan sekitar 150 topik dan hasil penyelidikan oleh warga penyelidik Nuklear Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan “Teknologi Nuklear Memacu Industri Negara dan Mengiktiraf Kecemerlangan Inovasi Sains dan Teknologi Nuklear”, program itu bertepatan dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pada 20 Sept tahun lepas.

Turut dianjurkan pertandingan dan pameran Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2024 melibatkan penyertaan 50 hasil inovasi penyelidikan para penyelidik Nuklear Malaysia, pelbagai institut penyelidikan, universiti awam dan universiti swasta.

Nuklear Malaysia turut menganjurkan satu sesi dialog awam bersama pihak berkepentingan mengenai Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang bertujuan memberikan penerangan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri, institusi pendidikan dan penyelidikan serta organisasi bukan kerajaan mengenai hala tuju pelan tindakan yang digariskan di bawah dasar itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan