WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MSN Harap Pelumba Malaysia Cipta Kejutan Di LTdL 2024

27/08/2024 02:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) berharap pelumba Malaysia yang akan berentap dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 kali ini mampu melakar kejutan pada perlumbaan yang akan membuka tirai 29 September ini.

Ketua Pengarah MSN Abdul Rashid Yaakub berkata beliau optimis dengan kemampuan pelumba tempatan memberi saingan sengit pada perlumbaan berprestij itu meskipun mengakui pencabar kali ini mempunyai kekuatan tersendiri.

"Mungkin (boleh mencipta kejutan gelaran), tetapi kita kena ingat pasukan di luar sana pun sangat kuat. Kalau kita menang, baguslah. Itu menunjukkan peningkatan kepada pelumba-pelumba kita, tetapi pasukan yang kita jemput memang berada pada tahap tertinggi, yang bertanding di Tour de France, Giro d'Italia dan sebagainya. 

"Jadi, persediaan pasukan kita perlu pada tahap tertinggi. Kita harap ada lagi satu pelumba yang dapat. Bukan setakat dapat menang jersi polka dot (Raja Bukit), tetapi kalau boleh keseluruhan … namun ia mungkin sangat sukar,” katanya kepada pemberita semalam. 

Sebagai rekod, pelumba Malaysia Muhammad Nur Aiman Zariff melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Raja Bukit pada 2020 dan 2022. 

Negara turut meraih gelaran Raja Pecut menerusi Anuar Manan pada 2010 dan gelaran pelumba terbaik Asia menerusi Adiq Husainie Othman pada 2016.

Bagaimanapun, edisi tahun lepas menyaksikan Nur Aiman tidak berjaya mempertahankan gelaran Raja Bukit selepas disambar pelumba Tudor Pro Cycling Team dari Switzerland, Simon Pellaud.

LTdL 2024 bakal menyaksikan sebanyak 22 pasukan yang merangkumi tiga pasukan berstatus WorldTeam iaitu Astana Qazaqstan, EF Education-Easypost dan Team DSM Firmenich Postnl mengambil bahagian. 

Perlumbaan sejauh 1,190 kilometer akan bermula di Langkawi untuk peringkat pertama, diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat 3), Kuala Kubu Bharu ke Bentong (peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (peringkat 6), Miri ke Bintulu (peringkat 7) dan Bintulu (peringkat 8).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan