WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih Suku Kedua Public Bank Naik Kepada RM1.78 Bilion, Isytihar Dividen 10 Sen

27/08/2024 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Public Bank meningkat kepada RM1.78 bilion pada suku kedua berakhir 31 Jun, 2024 (Tahun Kewangan 2024) berbanding RM1.61 bilion pada suku yang sama tahun lepas. 

Perolehan juga meningkat kepada RM6.69 bilion pada suku tersebut daripada RM6.26 bilion sebelumnya. 

Prestasi lebih baik pada suku tersebut disumbang terutamanya oleh beberapa faktor, iaitu peningkatan keuntungan bersih boleh diagihkan kepada pemegang ekuiti; kenaikan faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam; sumbangan tinggi daripada syarikat bersekutu; dan peningkatan pendapatan bukan faedah/pembiayaan.

Bagaimanapun, prestasi itu diimbangi sebahagiannya oleh peningkatan perbelanjaan operasi lain sebanyak RM101.1 juta.

Bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2024, Public Bank mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM3.43 bilion berbanding RM3.33 bilion pada tempoh yang sama 2023, manakala perolehan meningkat kepada RM13.48 bilion daripada RM12.38 bilion sebelumnya.

Mengenai prospek masa depan, bank itu berkata kumpulan tersebut komited untuk mengukuh dan mengembangkan perniagaan serta kehadiran serantaunya, khususnya di Indochina, bagi memanfaatkan prospek ekonomi serantau sambil meningkatkan penjenamaan yang kukuh dan amalan pengurusan berhemat.

Public Bank mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 10 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, dengan pembayaran berjumlah RM1.94 bilion, mwakili 56.5 peratus keuntungan bersih Kumpulan bagi tempoh tersebut.

Dividen akan dibayar pada 23 Sept, 2024, berdasarkan tarikh kelayakan dividen yang ditetapkan bagi 11 Sept, 2024.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Public Bank berkata, walaupun persekitaran operasi yang kompetitif, kumpulan terus mengekalkan momentum perniagaan yang kukuh, didorong terutamanya oleh prestasi perniagaan pinjaman dan deposit yang berdaya tahan serta disokong oleh pertumbuhan pendapatan bukan faedahnya.

Ditambah dengan pengurusan kos berhemat dan kualiti aset yang kukuh, kumpulan itu mencapai pulangan bersih ekuiti sebanyak 12.8 peratus bagi Separuh Pertama 2024.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Dr Tay Ah Lek berkata persekitaran operasi di Malaysia dijangka kekal kondusif bagi pertumbuhan perniagaan perbankan disokong oleh perbelanjaan swasta dan aktiviti pelaburan yang berdaya tahan.

“Kumpulan akan terus mengukuhkan kecekapan dalam segmen perbankan runcit sambil terus aktif merebut peluang baharu dalam sektor kemampanan dan transformasi digital bagi memacu pertumbuhan perniagaan.

“Kumpulan juga akan terus memastikan asas yang teguh dengan kedudukan modal dan kecairan yang kukuh serta kualiti aset yang padu untuk melindungi keuntungan dan nilai pemegang kepentingan yang mampan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan