WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hari Kebangsaan: Peserta Perarakan Diseru Beri Komitmen 110 Peratus

28/08/2024 06:12 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Peserta perarakan Hari Kebangsaan 2024 diseru untuk memberikan 'komitmen 110 peratus' pada raptai penuh besok bagi memastikan persembahan pada hari sebenar sambutan Sabtu ini berjalan lancar.

Bercakap kepada Bernama, Pengarah Artistik dan Konsep Rosnan Nordin berkata kejayaan dan kesempurnaan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini terletak pada komitmen semua peserta.

“Kita nak lihat peserta lepaskan komitmen 110 peratus sebagaimana acara sebenar Sabtu ini. Hari ini saya lihat baru antara 80 dan 90 peratus sahaja. Ada lagi 10 peratus komitmen yang tidak dikeluarkan lagi.

“Anda mesti dapatkan 110 peratus itu esok. Dengan cara ini kita akan dapat komitmen daripada acara persembahan maka lontarkan agar acara akan meriah. Maka, lepaskan semangat ini esok,” katanya selepas raptai hari ini. 

Rosnan yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkata pengalaman hampir 20 tahun melaksanakan tugasan itu menjadi pembakar semangat untuk beliau memastikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 mencapai sasaran, demi memuaskan hati tetamu kehormat dan pengunjung di Dataran Putrajaya serta penonton yang menyaksikan secara langsung di saluran televisyen tempatan.

Berbaki dua hari sebelum menjelang 31 Ogos ini, Rosnan berkata beliau optimis semua segmen persembahan yang telah dirancang akan dipersembahkan dengan baik oleh lebih 13,000 peserta.

“Cabaran saya sekarang adalah dari segi masa persembahan sebab kita nak majlis berlangsung dua jam sahaja. Hari pertama raptai semalam ambil masa dua jam dan 24 minit, hari ini pula dua jam dan 15 minit,” katanya.

Bagaimanapun katanya perkara itu akan diatasi segera sambil menyeru kerjasama daripada semua peserta terlibat untuk membantunya mencapai sasaran tersebut.

“Kita akan berusaha untuk kurangkan masa tanpa menjejaskan mana-mana segmen yang telah disusun. Insya-Allah kita boleh capai sasaran dua jam,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang menyasarkan 100,000 pengunjung itu bakal menampilkan persembahan 25 pasukan pancaragam dan tiga pasukan pergendangan antaranya dari Pusat Latihan Muzik Tentera Darat, Polis Kedah, brass band wanita semboyan diraja dan pergendangan tradisional Melayu, Cina serta Bhangra.

Acara itu juga akan diserikan dengan penglibatan aset hidup haiwan iaitu sebanyak 66 ekor kuda dan 46 ekor anjing dari Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Turut terlibat 326 aset kenderaan melibatkan 120 aset kontinjen keselamatan negara, 71 aset kontinjen kesejahteraan, 68 motosikal kontinjen Kembara Merdeka Jalur Gemilang, 50 aset kontinjen ekonomi, 11 aset kontinjen komunikasi, empat aset kontinjen sukan negara serta dua aset industri kreatif dan penyiaran.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan