WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Keldai Akaun Ditahan, Mangsa Kerugian Lebih RM130,000

28/08/2024 08:56 PM

BALIK PULAU, 28 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki yang disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan berasingan hingga menyebabkan beberapa mangsa kerugian RM132,152 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kedua-dua lelaki itu ditahan berasingan di daerah itu hari ini dan semalam oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

"Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan hari ini di pekarangan Balai Polis Bayan Lepas, di sini kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan iaitu pelaburan saham yang tidak wujud melalui Facebook.

"Kes itu membabitkan laporan polis di Bayan Baru dan berdasarkan siasatan mangsa telah membuat beberapa transaksi dalam talian ke akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM117,352," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata bagi tangkapan semalam pula melibatkan lelaki berusia 55 tahun di tepi Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas di sini kerana menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan pembelian kereta terpakai jenis Mini Cooper.

Kamarul Rizal berkata pihaknya menerima laporan kes itu di Bayan Lepas dan mangsa telah membuat beberapa transaksi secara dalam talian ke akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM14,800.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu.

Dalam kes berasingan, Kamarul Rizal berkata pihaknya menerima laporan polis oleh seorang guru wanita berusia 34 tahun dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Beliau berkata mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa daripada pihak Shopee dan memberitahu nama wanita itu telah berdaftar dengan syarikat kosmetik tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata mangsa seterusnya disambungkan ke talian menggunakan panggilan video dan telah bercakap dengan individu memakai pakaian uniform yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai polis.

"Mangsa yang bimbang ditangkap oleh ‘pegawai polis’ itu kemudiannya membuat pemindahan wang sebanyak RM3,000 sebagai bayaran urusan audit dengan pihak bank sebelum menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan