BERITA TERGEMPAR   Hong Leong Bank remains watchful on the US monetary policy stance, targeting 1.85 pct - 1.95 pct NIM growth in FY2025 - CEO Kevin Lam | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Perlu Pisah Pertumbuhan Ekonomi Daripada Penggunaan Tenaga Tidak Lestari - Abang Johari

29/08/2024 05:18 PM

KUCHING, 29 Ogos (Bernama) -- Sarawak berada di titik peralihan penting iaitu ia perlu memisahkan pertumbuhan ekonominya daripada penggunaan tenaga dan sumber yang tidak lestari, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata peralihan ini tidak akan berlaku dengan sendirinya kerana ia memerlukan Sarawak untuk mengamalkan dasar ekonomi hijau untuk memacu peralihan.

Menurut Abang Johari, dasar itu memberi tumpuan kepada beberapa objektif utama termasuk memastikan komitmen penuh untuk melindungi biodiversiti dan sumber semula jadi yang unik.

“Daripada mengganggap alam semula jadi sebagai sesuatu yang boleh dipergunakan, kita harus melihatnya sebagai modal semula jadi untuk dilabur bagi perlindungan dan pemuliharaan.”

“Kami komited untuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui penggunaan sumber lestari serta memastikan pertumbuhan ekonomi kami tidak akan menyebabkan penggunaan sumber yang berlebihan dan pelepasan gas rumah hijau yang tinggi,” katanya menerusi ucap tama beliau pada Forum Perniagaan Australia-ASEAN 2024 di Sydney, Australia, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata peralihan Sarawak kepada ekonomi hijau bergantung besar kepada tenaga lestari.

Oleh itu, beliau berkata negeri tersebut telah menetapkan sasaran tinggi untuk mencapai campuran tenaga boleh baharu sebanyak 10 gigawatt menjelang 2030 atau matlamat '102030'.

“Kami sedang meneroka kaedah inovatif untuk memanfaatkan tenaga melalui potensi hidroelektrik, solar, biojisim, bahan api lestari dan hidrogen. Usaha ini mencipta landskap dinamik untuk pelabur yang berminat dalam penyelesaian tenaga lestari dan boleh baharu.”

“Selain itu, tenaga boleh baharu telah menjadi daya tarikan utama bagi pelabur yang komited untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan