WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nasi Lemak - Sajian Warisan Rentas Etnik, Lubuk Rezeki Usahawan Mikro

30/08/2024 09:12 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Sajian ikonik nasi lemak yang sinonim sebagai makanan kegemaran merentasi pelbagai etnik, turut dikenali sebagai menu rasmi negara ini yang memaparkan keunikan, kepelbagaian dan keharmonian budaya Malaysia.

Bersandarkan keenakan nasi yang lemak dimasak dalam santan, menu ini lazimnya dihidangkan bersama sambal tumis, ikan bilis digoreng rangup dan kacang tanah goreng, telur rebus serta hirisan timun segar.

Popular sebagai sajian wajib rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan status, nasi lemak juga tidak terkecuali melalui fasa ‘evolusi’ daripada sekadar juadah sarapan dan kini diangkat sebagai menu pilihan ramai di restoran serata negara.

Nasi lemak kini dijual bersama pelbagai pilihan menu sampingan, termasuk ayam goreng, rendang daging, sambal tumis sotong dan semakin versatil mengikut selera penggemarnya yang pelbagai.

Bermula dalam bentuk bungkusan kecil daun pisang oleh peniaga Melayu, nasi lemak juga menjadi sumber pendapatan bagi kalangan usahawan Cina dan India, malah warga asing selepas dipaparkan menerusi media-media sosial.

 

Punca rezeki pelbagai bangsa

Sangheeta Manimalar, 35, yang berniaga di sebuah gerai di Seri Kembangan, Selangor, menjadi tular di Internet selepas berita keenakan nasi lemaknya tersebar dalam talian.

Perniagaannya yang beroperasi sejak 13 tahun lepas, turut menarik pelbagai latar belakang, bangsa serta mereka yang sanggup datang dari serata lokasi.

“Bulan lepas ada 13 pelanggan yang sanggup datang dari Perlis dan semalam, seorang ustaz dari Kelantan turut singgah ke sini hanya untuk membeli nasi lemak ini,” katanya kepada Bernama.

Penulis turut mendapati beberapa keluarga berbangsa Cina turut bertandang membeli nasi lemak Sangheeta yang turut dikenali sebagai ‘Akka (kakak) Nasi Lemak’ di platform media sosial TikTok.

Tidak kurang yang masih mengenakan baju tidur, sekali gus membuktikan rutin harian membeli nasi lemak beliau pada waktu pagi.

Salah seorang pelanggan tetapnya, Vincent Sinnappan, 46, mengakui menjadi pelanggan setia gerai itu sejak tujuh tahun lepas.

“Sebelum kisahnya menjadi tular, saya memang pembeli setia nasi lemak ini. Saya sukakan sambal tumis serta ayam rendangnya,” katanya.

Sangheeta berkata idea menjual nasi lemak itu timbul secara spontan sewaktu beliau mengidam ketika hamil anak kedua pada usia 23 tahun dan seterusnya bertindak menjadi penjual sajian itu. 

Beliau menjalankan perniagaan itu bersama ibunya, Suriakala Utras, 52, dan abangnya, Yugenthiran Manimalar, 37, yang bermula daripada gerai di tepi jalan. 

Perniagaan itu kini berkembang kepada gerai makan di medan selera di Seri Kembangan manakala cawangan kedua di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai bahan yang penting, Sangheeta berkata gabaungan kacang tanah, ikan bilis dan telur rebus sebagai penting untuk melengkapkan rasa nasi lemak.

Beliau memulakan perniagaan dengan dua jenis sambal - pedas dan kurang pedas dengan hidangan istimewanya termasuk ayam goreng, ayam masak merah, rendang ayam dan kari ayamnya yang terkenal.

“Kami juga menjual sambal tumis udang, telur puyuh, ikan bilis dengan petai, sambal kerang dan pelbagai jenis pastri seperti idli, vadai, karipap dan apam,” katanya.

Bermula dengan keuntungan harian sebanyak RM15 hingga RM20, keuntungan harian semasanya RM400 hingga RM900 pada masa ini.

 

Popular dalam kalangan pekerja asing

Seorang lagi peniaga, Pauziah Mat, 71, yang juga pengasas Ziemel Corner Nasi Lemak, percaya sajian warisan itu mempunyai rasa unik yang bukan sahaja digemari rakyat Malaysia, malah warga negara lain apabila semakin popular dalam kalangan pekerja asing di sini.

Bercakap kepada Bernama, Pauziah yang menjalankan perniagaan nasi lemaknya hampir 25 tahun, berkata pelanggannya terdiri daripada pelbagai umur, latar belakang dan bangsa.

Beliau yang menjalankan perniagaan bersama suaminya, Mohd Kamil Abdul Ghani, 64, berkata mereka bermula dengan hanya beberapa hidangan sampingan, termasuk ayam goreng, telur goreng, sambal tumis sotong dan rendang daging yang sudah menjadi sebahagian daripada tradisi mereka.

Seiring peredaran masa, mereka kini mempelbagaikan menu pilihan tambahan seperti beberapa jenis rendang selain paru, sambal kerang, sotong, kentang goreng bercili, telur goreng dan sebagainya.

Sebagai individu yang turut menggemari, memasak dan menjual nasi lemak, Pauziah yakin keunikan rasanya terbit daripada sambal atau sambal tumis.

Beliau berkata dengan meneliti input dikongsi pengguna, juga dapat membantunya mengenal pasti untuk memperbetul kekurangan selain mengekalkan keenakan menu itu.

“Orang kata jika kita tahu maklum balas daripada pelanggan, kita akan faham kekurangan dalam menu kita. Itulah yang kami mahu kekalkan.

“Keunikan rasa tidak perlu diubah dan kita perlu pastikan sukatan kita sentiasa tepat,” katanya.

 

Elemen keistimewaan nasi lemak

Bagi penggemar nasi lemak, Lee Jaslyn, 24, berkata keistimewaan sajian itu terletak pada bahan asasnya, terutama nasi itu yang dipadankan dengan kacang tanah, telur dan ikan bilis yang penting dalam menawarkan pengalaman menikmati nasi lemak dengan memuaskan.

Lee, yang membeli nasi lemak sotong atau ayam goreng kegemarannya berharga RM5 sekurang-kurangnya dua kali seminggu, menyifatkan nasi lemak adalah pilihan lazim untuk sarapan Malaysia, selain turut diiktiraf dan diraikan di seluruh pelusuk negara.

“Orang Melayu sering menikmatinya dengan ayam goreng atau rendang, sementara versi Cina mungkin dengan hidangan daging lain. Orang India mungkin menyajikannya dengan kari pedas atau ikan goreng. Nasi lemak ini sebenarnya menyatukan semua,” katanya.

Puspavathy Selvarajah, 54, dari Klang, Selangor, yang arif dengan sajian ini, percaya sajian nasi lemak yang sempurna wajib disertakan dengan kacang tanah, ikan bilis, timun, dan telur -- syarat penting untuk satu hidangan lengkap.

Baginya, nasi lemak adalah lambang budaya dan identiti Malaysia yang paling jelas di samping berperanan sebagai makanan menyatukan pelbagai kumpulan etnik di Malaysia.

“Setiap orang menggemari nasi lemak, tanpa mengira usia. Nasi lemak adalah hidangan seimbang dengan karbohidrat, protein, dan sayur-sayuran (timun). Sama ada untuk sarapan, makan tengah hari atau makan malam, nasi lemak menyatukan kalangan kita, menawarkan kekayaan rasa warisan budaya Malaysia,” katanya.

 

Sumber pendapatan usahawan mikro

Sajian yang mudah didapati ini juga bukan sekadar memenuhi selera, tetapi turut melambangkan mikroekonomi yang berkembang pesat, punca pendapatan ribuan penjaja dan usahawan mikro selain peranannya dalam menyatukan komuniti di seluruh negara.

Nasi lemak juga menggabungkan pelbagai industri pertanian dan makanan, mewujudkan jaringan ekonomi atau ekosistem yang unik menyokong kesejahteraan dan identiti budaya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menyifatkan nasi lemak sebagai hidangan yang menawarkan kesan limpahan ekonomi secara meluas.

Beliau berkata setiap komponen nasi lemak, daripada daun pisang hingga sambalnya, memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelbagai sektor ekonomi.

“Bahan-bahan untuk nasi lemak merangkumi pelbagai produk dan perkhidmatan dan melibatkan beberapa sektor agrimakanan seperti beras, sayur-sayuran, perikanan, ternakan, minyak sawit dan buah-buahan. 

“Beberapa bahan ini mempunyai nisbah sara diri (SSR) yang rendah seperti beras yang mempunyai SSR kira-kira 70 peratus,” katanya.

Berikutan itu, katanya, terdapat kebergantungan kepada import untuk menampung permintaan tempatan terhadap beras, termasuk untuk kalangan peniaga nasi lemak.

Mohd Afzanizam berkata penjual yang berjaya pula perlu bertindak memilih lokasi gerai mereka secara strategik dan memanfaatkan platform media sosial untuk menarik pelanggan, sekali gus membuktikan kepentingan celik digital dengan kemahiran memasak secara tradisional.

“Segelintir peniaga mungkin mencuba nasi lemak sejuk beku yang boleh dijual di pelbagai kedai. Mungkin ini nampak mudah tetapi boleh menjadi sumber pendapatan jika penjual nasi lemak melakukannya dengan betul,” katanya.

 

Juadah satukan rakyat Malaysia 

Sementara itu, Ahli Ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali juga senada dengan pandangan bahawa sajian ikonik ini merentasi sempadan etnik.

Nuradli berkata harga nasi lemak yang mampu milik, turut menjadikannya sebagai makanan ruji bagi sebahagian besar rakyat Malaysia.

“Harga nasi lemak pernah mencecah serendah RM1 sebungkus namun kosnya telah meningkat dengan hidangan asas kini purata kira-kira RM5. Bagaimanapun, versi premium terutamanya yang ditawarkan di hotel atau restoran mewah boleh mencecah sehingga RM20.

“Harga yang pelbagai ini mencerminkan pengalaman menjamu selera yang berbeza berkaitan dengan hidangan ini, daripada gerai di tepi jalan hingga tempat makan mewah,” katanya.

Beliau berkata penetapan harga yang pelbagai untuk nasi lemak menunjukkan impak ekonomi dan segmen pasaran dengan peniaga menawarkan pilihan harga yang rendah untuk memenuhi keperluan harian individu yang mencari hidangan yang cepat dan pada harga berpatutan, sering menghasilkan jumlah jualan yang tinggi.

Sebaliknya, nasi lemak pada harga yang lebih tinggi ditawarkan dalam persekitaran mewah bertujuan untuk memberi pengalaman menjamu selera yang unik, mewajarkan kos premiumnya melalui suasana dan perkhidmatan lebih baik.

“Nasi lemak bukan sekadar mengenai makanan tetapi juga pengalaman. Walaupun sesetengah pengguna mencari hidangan yang cepat dan mampu milik, ada juga yang sanggup membayar lebih untuk mendapatkan pengalaman menjamu selera yang lebih mewah. Segmen ini penting untuk difahami dan disesuaikan oleh para penjual,” katanya.

Beliau berpendapat kenaikan harga nasi lemak di kawasan tertentu juga mencerminkan trend yang lebih luas apabila makanan dipadankan dengan gaya hidup atau pengalaman.

“Sebagai contoh, restoran dan hotel mewah menawarkan nasi lemak sebagai sebahagian daripada pengalaman menjamu selera yang berbeza termasuk suasana mewah dan perkhidmatan yang terbaik. Strategi ini memenuhi keperluan pengguna yang memberi keutamaan kepada pengalaman dan persekitaran berbanding kos semata-mata,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan memahami Kanvas Model Perniagaan (BMC) juga penting bagi peniaga untuk mengendalikan segmen pasaran ini.

BMC merangkumi komponen seperti cadangan jualan yang unik, segmen pasaran dan saluran pelanggan, kesemuanya perlu saling berkaitan untuk model perniagaan yang berjaya.

Nuradli berkata peniaga nasi lemak perlu mengenal pasti cadangan jualan yang unik dan pasaran sasaran mereka selain memahami model perniagaan dan dinamik pasaran yang penting dari segi kemampanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan