WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Curi Kabel TM Di Pulau Pinang, Polis Tahan 16 Lelaki

30/08/2024 11:21 AM

GEORGE TOWN, 30 Ogos (Bernama) -- Polis menahan 16 lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) dalam operasi khas di negeri ini sepanjang Ogos.  

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dengan penahanan mereka yang berusia 20 hingga 52 tahun itu, sekurang-kurangnya lapan kes curi kabel berjaya diselesaikan iaitu di daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.

"Susulan kes kecurian kabel milik TM di sekitar negeri ini, polis Pulau Pinang telah melancarkan operasi sepanjang bulan ini dan berjaya menahan 16 lelaki tersebut serta merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

"Kesemua mereka direman untuk siasatan lanjut dan kertas siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sejak Januari lepas hingga kini, sebanyak 50 kes kecurian kabel dilaporkan di Pulau Pinang dan pihaknya berjaya menahan 77 individu sekali gus menyelesaikan 33 kes berkaitan.

Hamzah berkata pihaknya amat komited dalam mencegah dan membanteras jenayah curi kabel serta memohon kerjasama orang ramai agar bersama-sama menyalurkan maklumat kepada polis. 

Sementara itu, katanya polis menahan 11 lelaki berusia 24 hingga 66 tahun kerana terlibat dalam kes kecurian motosikal dalam operasi khas.

"Polis telah melancarkan satu operasi khas di Pulau Pinang dan menahan 11 lelaki serta merampas lima motosikal disyaki motosikal curi, (jadi) kami berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal di daerah Timur Laut," katanya.

Kesemua mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan