WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wujudkan Platform Himpun Perspektif Berbeza Untuk Dialog, Kerjasama

08/09/2024 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Peningkatan ekstremisme, salah faham dan konflik memperlihatkan kepentingan mewujudkan platform yang dapat menghimpunkan pelbagai perspektif berbeza bagi menggalakkan dialog dan kerjasama.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam dunia hari ini yang dipenuhi pelbagai cabaran global maka kepentingan saling memahami serta menghormati budaya dan agama yang berbeza tidak boleh dipandang remeh.

"Melalui pertukaran, dialog dan inisiatif kerjasama kita dapat memupuk pemahaman, kepercayaan dan saling menghormati antara pelbagai komuniti," katanya semasa berucap pada acara 'Shared Values on Peace and Harmonious Coexistence' di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Acara itu anjuran Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa dengan kerjasama Soka Gakkai Malaysia dan Institut Falsafah Oriental.

Aaron berkata acara itu menampilkan dua pameran mengenai agama Islam dan Buddha iaitu  'Islam on Peace and Harmonious Coexistence' dan 'The Lotus Sutra - A Message of Peace and Harmonious Coexistence’ yang diadakan ISTAC-IIUM dan yang dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Pameran akan dibuka kepada orang ramai dari 10 pagi hingga 5 petang bermula hari ini hingga 27 Sept dan masuk adalah percuma. 

Sementara itu, mengenai Inisiatif Harmoni MADANI yang dilancarkan pada 27 April, beliau berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan setiap rakyat menikmati keadilan, kesaksamaan dan keselamatan, sambil menjalani kehidupan bersama mengikut prinsip Rukun Negara.

"Menyemai benih perpaduan, keamanan dan keharmonian bukan hanya tanggungjawab kerajaan malah perlu digalas bersama oleh setiap rakyat. 

"Sebagai negara berbilang kaum dengan pelbagai agama dan budaya adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengukuhkan hubungan sedia ada dengan kata-kata yang baik dan memberikan inspirasi," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan