WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jualan Perdagangan Borong & Runcit Naik 6.7 Peratus Pada Julai 2024

09/09/2024 02:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 6.7 peratus tahun ke tahun kepada RM149 bilion pada Julai 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan runcit meningkat 6.4 peratus kepada RM63.5 bilion jualan bagi bulan itu.

"Perdagangan borong juga bertumbuh 5.5 peratus untuk merekodkan RM66.6 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 12.2 peratus untuk mencapai RM19.0 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong dan runcit kembali positif 2.1 peratus, disokong oleh kenderaan bermotor yang meningkat 11.6 peratus.

Menurut DOSM, pertumbuhan 6.4 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan runcit disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang tumbuh 7.7 peratus untuk mencapai RM24.4 bilion manakala pertumbuhan tahun ke tahun subsektor perdagangan borong disokong oleh jualan borong jentera, peralatan dan bekalan yang meningkat 10.2 peratus kepada RM5.4 bilion.

Sementara itu, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12.2 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada Julai didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.0 peratus, katanya.

Untuk indeks jualan runcit melalui Internet, agensi itu berkata indeks itu tumbuh 5.7 peratus tahun ke tahun pada Julai 2024 berbanding 4.8 peratus pada Jun 2024. Bagi nilai pelarasan musim, indeks itu meningkat 1.5 peratus berbanding bulan sebelumnya.

DOSM berkata dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Julai 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.5 peratus, disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (10.8 peratus), perdagangan borong (5.2 peratus) dan perdagangan runcit (4.6 peratus).

“Bagi indeks volum pelarasan bermusim, ia meningkat 2.1 peratus bulan ke bulan,” katanya.

Ia berkata kerajaan mengisytiharkan 20 Okt setiap tahun sebagai Hari Statistik Negara (Hari MyStats) dan tema tahun ini ialah "Statistik Nadi Kehidupan".

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan