WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Saksi Nafi Tampar, Duduk Atas Perut Pegawai Kadet TLDM

09/09/2024 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini menafikan di Mahkamah Sesyen di sini, bahawa beliau duduk di atas perut mendiang J. Soosaimanicckam dan menamparnya berkali-kali ketika mangsa menjalani latihan sebagai pegawai kadet di KD Sultan Idris, Lumut.

Leftenan Abdul Ariff Abdul Halim, 29, berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Zaid Malek yang mewakili S. Joseph, iaitu bapa mendiang selaku plaintif dalam samannya terhadap 11 individu termasuk pegawai TLDM, Panglima TLDM, Majlis Angkatan Tentera Malaysia, Menteri Pertahanan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ke-15.

Zaid Malek: Merujuk pernyataan saksi kamu, pada 18 Mei 2018 kamu menyatakan si mati tidak membuat latihan dan saya cadangkan pada waktu itu kamu duduk di atas perut si mati.

Abdul Ariff: Tidak.

Zaid Malek: Bukan sahaja kamu duduk di atas perut si mati, kamu kemudian menampar si mati berkali-kali serta menjerit dan menengking si mati.

Abdul Ariff: Tidak.

Sebelum ini, bekas pegawai kadet TLDM Anas Hakimi Mat memberitahu mahkamah bahawa beliau melihat seorang pegawai berpangkat leftenan muda, duduk di atas perut Soosaimanicckam serta menamparnya berkali-kali dan pegawai berkenaan dikenali sebagai Leftenan Muda Ariff.

Terdahulu, Abdul Ariff ketika membacakan pernyataan saksinya berkata pada 18 Mei 2018, beliau bertugas sebagai Duty Leftenan Muda untuk memantau aktiviti fizikal yang dilakukan Pegawai Kadet Graduan (PKG) dan ketika itu beliau melihat si mati tidak membuat latihan tekan tubi.

“Saya telah pergi kepadanya (Soosaimanicckam) dan berada di belakang si mati dalam kedudukan half squat, lalu menepuk belakang badannya di kawasan bahu beberapa kali dan mengangkat badan si mati untuk membuatkan dia meneruskan latihan tersebut,” katanya semasa prosiding perbicaraan kes dijalankan secara sidang video menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Saksi defendan kelapan itu yang kini sedang menjalani kursus Nautical Cartographer di Dalian Naval Academy, China bermula 1 Ogos 2024 sehingga 31 Jan 2025 berkata beliau tidak pernah bercakap dengan si mati dan hanya mengenali Soosaimanicckam sebagai pelatih PKG.

Sementara itu, pegawai perubatan Dr S. Saravanan, 43, memberitahu mahkamah bahawa hasil pemeriksaan bedah siasat yang dijalankan ke atas si mati mendapati, paru-paru si mati menunjukan tanda paru-paru berair (oedema pulmonari) dan berat paru- paru si mati melebihi paras normal.

“Oedema Pulmonari boleh menyebabkan kematian dalam masa yang singkat sekiranya terdapat kegagalan organ-organ penting seperti jantung, hati, buah pinggang atau paru-paru. Dalam kes ini, saya berpendapat kegagalan paru-paru disebabkan oleh jangkitan kuman, sebagai punca si mati meninggal dunia dalam masa yang singkat,” kata saksi terakhir defendan itu.

Saravanan, yang merupakan Ketua Jabatan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Seri Manjung Perak juga tidak bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam plaintif Latheefa Koya, bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kelayakan berkaitan forensik patologi.

“Saya mempunyai pengalaman menguruskan kes-kes bedah siasat di hospital berkenaan,” kata saksi.

Hakim Idah Ismail kemudian menetapkan 28 Nov ini untuk keputusan kes saman itu.

Menerusi saman yang difailkan pada 19 Mei 2021, keluarga Soosaimanicckam mendakwa kecuaian berlaku di pihak defendan, kerana gagal memberi rawatan kecemasan apabila mangsa rebah pada hari kejadian dan cuai dalam memantau kesejahteraan serta kesihatannya semasa sesi latihan.

Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan kematian Soosaimanicckam sebagai kes homisid dan punca kematian mangsa adalah akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM bertanggungjawab bagi latihan kadet, yang menafikan rawatan perubatan kepadanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan