WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hampir 60 Dilaporkan Maut, Hilang Akibat Taufan Yagi

09/09/2024 07:14 PM

HANOI, 9 Sept (Bernama-VNA) -- Seramai 59 orang dilaporkan maut atau hilang akibat hujan lebat berpanjangan dan banjir yang disebabkan oleh Taufan Yagi di wilayah utara Vietnam setakat 11.30 pagi Isnin (9 Sept), menurut Agensi Berita Vietnam (VNA) yang memetik Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Nguyen Hoang Hiep.

Semasa mesyuarat yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (MARD) untuk melaporkan kerosakan akibat taufan itu, Penyelaras Residen PBB di Vietnam Pauline Fatima Tamesis mengesahkan kesediaan mereka untuk menyediakan sokongan perumahan bagi golongan miskin dan bantuan makanan. 

Beliau menyatakan harapan kerajaan Vietnam akan menilai kerosakan dengan tepat bagi memastikan bantuan disalurkan dengan cepat dan sewajarnya.

Sementara itu, Wakil UNICEF di Vietnam Silvia Danailov berkata agensi itu boleh menyelaras dengan rakan kongsi untuk menyediakan air bersih kepada penduduk di kawasan pergunungan terjejas serta menyokong akses kepada sanitasi untuk wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata agensi itu juga ingin memahami keperluan penting sekolah yang terjejas untuk menawarkan bantuan sesuai.

Wakil Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB di Vietnam, Remi Nono Womdim berkata agensi itu boleh bekerjasama dengan pasukan untuk menyediakan sokongan dengan cepat bagi memastikan keselamatan makanan, bekalan makanan, bantuan tunai dan pemulihan mata pencarian, serta komited untuk menyediakan sokongan kecemasan.

Wakil Persatuan Palang Merah Vietnam mengumumkan bahawa usaha bantuan akan dimulakan di Hai Phong dan Quang Ninh pada petang 9 September, serta melancarkan aktiviti sokongan dan meminta bantuan daripada organisasi antarabangsa untuk kawasan utara yang terjejas.

Ketua Jabatan Sains, Teknologi, dan Kerjasama Antarabangsa di kementerian itu, Doan Thi Tuyet Nga berkata pada 10 September, rakan kongsi pengurangan risiko bencana akan mengatur tiga kumpulan untuk menilai kerosakan di Quang Ninh, Hai Phong, dan satu lagi wilayah pergunungan utara.

Dalam mesyuarat itu, rakan kongsi pengurangan risiko bencana membincangkan dan berkongsi maklumat mengenai kerosakan yang disebabkan oleh taufan di Vietnam. 

Mereka juga komited untuk menyokong Vietnam dalam mengatasi akibat bencana alam dan menstabilkan kehidupan masyarakat di kawasan terjejas.

Setakat ini, rakan kongsi komited untuk menyediakan 3,000 kit kebersihan diri, 1,000 kit peralatan rumah, 1,000 set dapur, dan 2,000 kit pembaikan rumah untuk Vietnam, yang dijangka diserahkan kepada negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Menurut Jabatan Pengurusan Bencana dan Pencegahan dan Kawalan Bencana di bawah MARD, statistik awal dari kawasan terjejas setakat 6 pagi pada 9 September menunjukkan bencana itu mencederakan 247 orang. 

Hampir 13,600 hektar padi telah ditenggelami banjir selain 22,047 hektar sayur-sayuran dan tanaman lain serta 6,900 hektar pokok buah-buahan.

Taufan itu turut menumbangkan hampir 121,700 pokok, termasuk 6,059 di Hai Phong, 24,807 di Hanoi, 9,036 di Hung Yen, 40,000 di Hai Duong dan 31,860 di Bac Ninh.

Lebih 1,500 sangkar akuakultur telah rosak atau hanyut, termasuk 1,000 di Quang Ninh dan 300 di Hai Duong; manakala 25 bot karam di Quang Ninh.

Ribut itu turut merosakkan 9,851 rumah, menyebabkan masalah di 12 bahagian talian penghantaran 500kV, 36 bahagian talian 220kV, dan 161 bahagian talian 110kV.

-- BERNAMA-VNA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan