WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Baharuddin, Azahar Dipilih Sebagai Ahli Dewan Negara

10/09/2024 12:27 PM

KANGAR, 10 Sept (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini memilih Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis Baharuddin Ahmad dan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis Azahar Hassan sebagai Ahli Dewan Negara.

Pemilihan Baharuddin, 68, dan Azahar, 54, bagi menggantikan Datuk Aziz Ariffin dan Seruandi Saad yang telah tamat tempoh perkhidmatan mereka pada 25 Ogos lepas.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli mencadangkan Baharuddin dan Azahar yang kemudian disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat Razali Saad dan ADUN Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah.

Terdahulu, Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan berkata selaras dengan Perkara 45 dan Jadual Ketujuh Perlembagaan Persekutuan, notis pemakluman daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah dipersembahkan kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi memaklumkan dua Ahli Dewan Negara yang dilantik DUN Perlis sebelum ini tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Ogos 2024.

"Sehubungan dengan itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis telah perkenan dan menitahkan DUN Perlis membuat pemilihan bagi mengisi kekosongan tersebut dengan segera,” katanya pada persidangan DUN Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.

Baharuddin pernah berkhidmat sebagai Pengurus Negeri Pulau Pinang di Pos Malaysia manakala Azahar ialah seorang pesara guru.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan