WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pemain Industri Tempatan Digesa Guna Teknologi Ai Dalam Sektor Ketenteraan - Khaled

10/09/2024 03:51 PM

Daripada Muhammad Afiq Mohd Asri

SEOUL, 10 Sept (Bernama) -- Pemain industri tempatan digesa menerajui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor ketenteraan agar seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang membuat gesaan itu berkata teknologi AI semakin digunakan dalam bidang ketenteraan, dan pemain industri tempatan mempunyai kemampuan sendiri kerana AI ialah teknologi yang dibangunkan dan diperkenalkan oleh sektor komersial.

“Saya percaya pemain industri tempatan mempunyai keupayaan untuk mempelopori teknologi AI dalam sektor ketenteraan sekali gus membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan teknologi mereka.

"Kita mempunyai syarikat tempatan terlibat dalam pembangunan AI yang boleh digunakan dalam sektor komersial,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Tanggungjawab Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata pemain industri tempatan yang mempunyai idea untuk pembangunan AI boleh mengemukakannya kepada Kementerian Pertahanan untuk potensi kegunaan ATM sekali gus menggunakan teknologi tempatan yang dibangunkan dalam sektor ketenteraan.

REAIM 2024 ialah anjuran Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pertahanan Korea Selatan, penganjur bersama termasuk Belanda, Singapura dan United Kingdom.

Malaysia adalah antara 90 negara yang menyertai sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan