WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MATRADE Sasar MIHAS 2024 Jana Jualan RM3.5 Bilion

10/09/2024 10:43 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan mencecah RM3.5 bilion pada acara Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 pada 17-20 September ini.

Pengerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sasaran itu lebih tinggi berbanding jualan RM3.2 bilion yang berjaya dicapai pada MIHAS 2023.

Beliau optimis sasaran itu mampu dicapai menerusi penyertaan memberansangkan yang menampilkan sebanyak 1,910 reruai pada tahun ini berbanding 1,890 reruai pada edisi tahun lepas.

MIHAS 2024 yang dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) turut melibatkan sebanyak 1,400 pempamer dari lebih 45 negara berbanding 1,040 pempamer mewakili 44 negara pada tahun lepas.

“Saya yakin penyertaan lebih banyak pempamer pada tahun ini juga menunjukkan potensi industri, produk dan perkhidmatan halal ini semakin mendapat permintaan tinggi daripada pihak luar,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Mengulas selanjutnya, Reezal Merican berkata pasaran global bagi barangan dan perkhidmatan halal dijangka mencecah US$5 trilion (RM23.54 trilion) menjelang 2030.

Justeru pertumbuhan pesat itu membolehkan MATRADE untuk terus menganjurkan MIHAS yang menjadi platform menyediakan lebih banyak peluang kepada perniaga tempatan menembusi pasaran global.

Beliau berkata salah satu komponen utama MIHAS, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang bakal diadakan pada 18 Sept, 2024, akan disertai 20 pembeli premium dari 13 negara yang dijangka menjana potensi nilai sumber sebanyak RM1.7 bilion.

“MATRADE turut menjadi hos kepada 330 pembeli antarabangsa dari 50 negara yang bakal disuai padan dengan hampir 800 penjual tempatan,” katanya.

Bertemakan ‘Mengglobalisasikan Inovasi Halal,’ MIHAS 2024 menampilkan 14 kluster termasuk makanan dan minuman, e-dagang, pendidikan, fesyen dan gaya hidup selain hospitaliti dan pelancongan mesra Muslim.

Edisi kali ini dijangka menarik lebih 40,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa, kata Reezal Merican.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan