WILAYAH - UTARA > BERITA

ATIPSOM: JTK Perak Selamatkan Empat Remaja Bangladesh Jadi Buruh Paksa

11/09/2024 09:24 PM

IPOH, 11 Sept (Bernama) -- Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak berjaya menyelamatkan empat remaja lelaki warga Bangladesh yang disyaki dieksploitasi menjadi buruh paksa di sebuah kilang, dalam Operasi Penguatkuasaan Perburuhan JTK Perak di sini hari ini.

Pengarah JTK Perak Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata keempat-empat remaja berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun itu, dipercayai bekerja di kilang berkenaan lebih setahun lepas.

“JTK akan memohon Perintah Perlindungan Interim (IPO) terhadap keempat-empat mereka di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Untuk makluman, penahanan ini juga dilakukan selepas pihak JTK melakukan risikan selama lebih sebulan di kilang sebelum operasi dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Perburuhan JTK Perak di sini hari ini.

Operasi berkenaan disertai 11 anggota JTK Perak dan tujuh anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang majikan warga China berumur 58 tahun di bawah Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana menggaji pekerja di bawah umur.

Sementara itu, Muhamad Fauzi berkata dalam operasi sama seramai 36 daripada 224 pekerja asing ditahan di bawah Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah berada di Malaysia.

Beliau berkata daripada jumlah yang ditahan, 34 warga Bangladesh manakala dua warga Nepal.

“Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk siasatan lanjut,” katanya.

Muhamad Fauzi berkata pihaknya turut mengenal pasti empat lagi kesalahan lain dilakukan kilang berkenaan, yang dipercayai beroperasi sejak lebih lima tahun lepas.

“Tiada perakuan penginapan daripada JTK di bawah Seksyen 24D dan Akta 446. Gagal menyediakan kemudahan asas seperti diperuntukkan Peraturan 4 di bawah Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020.

“Dua lagi kesalahan yang dikenal pasti, di bawah Seksyen 60K Akta Kerja 1955 iaitu majikan gagal melaporkan penggajian pekerja asing, selain (majikan) gagal memberi notis di bawah Seksyen 63A, Akta Kerja 1955 kerana penukaran nama syarikat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan