WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kembara JOM: KBS Beri Perhatian Isu Ekonomi, Kerjaya Masa Depan Belia

13/09/2024 11:04 PM

KOTA BHARU, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi perhatian terhadap isu termasuk ekonomi, peluang kerjaya, keusahawanan dan sara hidup yang dihadapi golongan belia pada hari ini dan masa depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata isu terutama mengenai ekonomi menjadi persoalan yang sering diajukan menerusi siri Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM).

"Berdasarkan maklum balas dan kajian kita buat, ada banyak indikator yang digunakan dan boleh dirumuskan termasuk berkaitan dasar serta polisi seperti Dasar Belia MADANI dan Model Belia MADANI.

"Dasar Belia MADANI memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan perkembangan belia bukan semata-mata soal penganjuran program tetapi secara holistik termasuk peluang mereka dalam bidang kerjaya, ekonomi, kepimpinan dan pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara JOM di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini hari ini.

Adam Adli berkata pihaknya akan terus membantu dan membimbing pertubuhan atau persatuan belia bagi mempersiapkan golongan itu berdepan dengan transisi perubahan umur.

Justeru, beliau berkata antara kandungan utama kepada pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) berkaitan penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun. 

"Salah satu tindakan yang dilakukan KBS adalah memberi penerangan menerusi Program Kembara JOM dengan menjelajah setiap negeri mendapatkan maklum balas," katanya.

Adam Adli berkata Kembara JOM merupakan inisiatif KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) yang bertujuan memberi penerangan lanjut kepada golongan sasar berhubung pelaksanaan Pelan Transisi Kepimpinan Belia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan