WILAYAH - SELATAN > BERITA

Sertai Melaka Explorace 2024, Menangi Hadiah Menarik

13/09/2024 04:01 PM

MELAKA, 13 Sept (Bernama) -- Jom sertai acara menjejaki tempat-tempat menarik menerusi Melaka Explorace 2024 untuk mengenali negeri penuh sejarah ini dengan lebih baik, pada masa yang sama, memenangi hadiah menarik.

Acara itu dianjurkan pada 5 dan 6 Okt ini oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bertemakan "Mana Lagi, Melaka Ler!".

Peminat pencarian harta karun boleh mendaftar penyertaan Melaka Explorace melalui pautan http://bit.ly/47dSZTi yang dibuka hingga 20 Sept ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin berkata Explorace Melaka dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Terbuka, Media dan Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama dengan penyertaan ditetapkan kepada dua hingga empat peserta bagi setiap pasukan.

"Yuran penyertaan bagi Kategori Terbuka adalah sebanyak RM200 sepasukan manakala RM100 sepasukan bagi Kategori Media serta RM100 sepasukan juga bagi Kategori Agensi Kerajaan Negeri Melaka/Bernama.

"Setiap pasukan turut diwajibkan membeli cenderamata TMM2024. Dengan ini, setiap pasukan berpeluang memenangi cabutan bertuah yang diadakan bersempena dengan TMM2024 yang menawarkan hadiah seperti kereta dan motosikal," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata menerusi pertandingan itu, peserta akan dibawa meneroka keindahan dan keunikan Melaka yang kaya dengan sejarah serta warisan di ketiga-tiga daerah negeri, iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin menerusi aktiviti "mencari harta karun" dengan berjalan kaki dan berkenderaan serta menaiki beca dan bot (river cruise).

"Peserta juga perlu memuat naik gambar dan video menarik terpilih di media sosial sepanjang explorace dijalankan sebagai nilai tambah untuk membolehkan mereka memenangi pertandingan berkenaan," katanya.

Nur-ul Afida berkata hadiah wang tunai turut menanti para pemenang. 

Beliau berkata majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 6 Okt dan peserta mengenakan busana tradisional yang menggambarkan kepelbagaian masyarakat di Melaka, berpeluang memenangi hadiah menarik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan