WILAYAH - SABAH > BERITA

30,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Hari Malaysia Di Sabah

13/09/2024 04:54 PM

KOTA KINABALU, 13 Sept (Bernama) -- Seramai 30,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia 2024 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Padang Merdeka di sini pada 16 Sept, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 berkata sementara menanti acara utama bermula, prapersembahan akan bermula seawal 5 petang hingga 7.30 malam diselang-selikan dengan ketibaan jemputan serta menampilkan persembahan artis.

"Penampilan khas maskot adiwira di kawasan tapak acara pascapersembahan akan diteruskan selepas persembahan bunga api dan keberangkatan pulang tetamu kehormat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Liew berkata antara acara yang dijadual berlangsung pada malam itu ialah menandatangani Buku Khas sambutan Hari Malaysia 2024 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor disaksikan oleh Liew dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024.

Beliau berkata bagi memberkati sambutan itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) akan menganjurkan majlis bacaan yasin dan doa selamat pada hari ini di Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang di sini. 

Liew berkata penganut agama lain juga digalakkan untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan negara mengikut kepercayaan masing-masing.

Aktiviti lain termasuk pameran, bazar jualan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, pertandingan mencari harta karun di arkib negeri dan balai seni lukis, night at the archives, pertandingan e-sport, kuiz kenegaraan dan pertandingan melukis berkonsepkan tema "Malaysia MADANI, Jiwa Merdeka".

"Wow factor" yang akan diketengahkan melibatkan persembahan kebudayaan yang unik, pertunjukan hologram, persembahan dron, pertunjukan cahaya dan bunyi serta elemen kreatif mencerminkan tema “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka”.

"Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar perayaan, ia pengiktirafan terhadap identiti dan jati diri kita sebagai bangsa berbilang kaum tetapi bersatu hati," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan