WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Worldskills Lyon: Peserta Tunggal Palestin Jadi Tumpuan, Pernah Timba Kemahiran Di Malaysia

13/09/2024 07:31 PM

Daripada Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

LYON, 13 Sept (Bernama) -- Peserta tunggal Palestin Mahdy Abu Sarhan mencuri tumpuan selepas cemerlang melaksanakan setiap tugasan yang diberikan pada Pertandingan WorldSkills (WSC 2024) di Eurexpo di sini. 

Bertanding dalam bidang Pemasangan Elektrik, beliau pernah menimba ilmu lebih seminggu di GiatMARA Kota Bharu, Kelantan sebagai persiapan menghadapi WSC 2024.

Peserta Malaysia iaitu Muhammad Hakimi Abu Bakar juga pernah menjalani latihan bersama Mahdy sebagai persiapan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan kemahiran terbesar itu. 

“Kita berkongsi ilmu dengan warga Palestin... dia cepat belajar dari sudut mekanikal dan pendawaian,” kata tenaga pengajar GiatMARA Kota Bharu Mohd Zardi Zakaria kepada Bernama. 

Tinjauan Bernama di lokasi pertandingan mendapati beberapa pengunjung turut membawa bendera Palestin sebagai tanda solidariti terhadap negara itu.

Pada acara pembukaan WSC 2024, Kontinjen Palestin menerima sorakan dan tepukan gemuruh daripada lebih 12,000 hadirin yang memenuhi Arena LDLC.

WSC 2024, yang berlangsung dari 10 hingga 15 Sept ini, menghimpunkan 1,400 peserta dari lebih 70 negara dan wilayah untuk bersaing dalam 62 kategori kemahiran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan