WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA: Pulau Pinang Akan Adakan Perbincangan Bersama KBS, Tiga Negeri Lain

13/09/2024 09:23 PM

KEPALA BATAS, 13 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang akan terlibat dalam sesi perbincangan lanjut dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan  tiga negeri lain yang terpilih sebagai hos bersama dalam penganjuran temasya Sukan SEA 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata perbincangan yang akan disertai Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan diadakan sebaik sahaja selesai temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dan Hari Sukan Negara (HSN) bulan depan.

“Semalam saya sempat bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di mana (beliau memaklumkan) satu mesyuarat akan diadakan selepas Para SUKMA dan HSN bagi membincangkan maklumat selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke temasya Para SUKMA Sarawak 2024 di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum mengambil sebarang keputusan lanjut berhubung jenis sukan yang akan diadakan di negeri itu dan hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan semua pihak yang terlibat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan itu.

Malaysia pernah menjadi penganjur bagi Sukan SEA edisi 2001 dengan penganjuran bersama Johor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan apabila kontinjen negara muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan