WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Semua Pelapis 'Kuat', Perlu Lebih Yakin - Shah Firdaus

13/09/2024 09:50 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Sept (Bernama) -- Pelumba berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berharap pelumba pelapis perlu lebih yakin dan beraksi cemerlang selepas Datuk Azizulhasni Awang secara rasmi tidak beraksi pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Shah Firdaus, 29, berkata terdapat beberapa pelumba pelapis negara yang mampu menggalas tanggungjawab sebagai pelumba kedua namun mereka perlu berusaha untuk menonjol ke hadapan.

“Apabila bercakap pasal pelumba kedua, saya tidak boleh sebut nama sesiapa kerana sebab setiap pelimba sekarang sangat kompetitif.

“Mereka ini kuat cuma mungkin kurang yakin….macam dulu saya selalu bersama Azizulhasni di final...jadi (selepas ini) kita akan tengok siapa yang akan menyerlah selepas ini.

“Saya sertai team elite sejak 2014 jadi tempoh itu agak lama untuk saya bersaing dengan senior dan ia mengajar erti berpasukan jadi saya harap atlet muda ini akan menonjol dalam pertandingan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengenalan Penaja Maybank Cycling Series Johor  2024 di sini hari ini.

Sementara itu, Shah Firdaus menyambut baik perlumbaan Maybank Cycling Series Johor yang dilihat mampu menyerlahkan bakat pelumba basikal di negara ini.

Katanya beliau turut berharap lebih banyak perlumbaan dan pertandingan didiadakan negara ini untuk melahirkan lebih banyak pelumba pelapis.

“Kita banyak pelumba di Malaysia ni...tapi peluang berlumba itu kurang berbanding di luar negara. Jadi selepas ini harap lebih banyak syarikat anjurkan perlumbaan dalam usaha untuk ‘membangunkan budaya perlumbaan berbasikal di negara ini,” katanya.

Maybank Cycling Series Johor 2024 bakal menyaksikan lebih 3,000 penggiat sukan berbasikal dari 30 buah negara akan bertanding di Iskandar Puteri esok.

Perlumbaan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu Lebuh Raya (120km) dan Fellowship Ride (60km).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan