WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelayakan Minimum Perkhidmatan Awam Dinaikkan Kepada SPM

14/09/2024 08:46 AM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Selari dengan perubahan dasar pendidikan negara dan akses pendidikan ke peringkat menengah atas, had kelayakan minimum bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam kini ditetapkan pada peringkat  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berikutan itu, sebanyak 11 skim perkhidmatan dengan kelayakan masuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dinaik taraf kepada skim perkhidmatan berkelayakan SPM. 

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan, skim perkhidmatan terlibat ialah pengawas hutan dengan gred jawatan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan pembantu hidupan liar, masing-masing gred G11 dan G14.

Turut terlibat pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam serta operator loji, masing-masing melibatkan gred H11, H14, H16 dan H18, pengawal keselamatan (KP11, KP14, KP16 dan KP18),  pembantu perawatan kesihatan (U11, U14, U16, U18) serta bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi (N11, N14, N16, N18). 

Menurut pekeliling itu, skim perkhidmatan pemandu kenderaan, pemandu atau operator jentera pemunggah, pembantu awam, operator loji, bentara Parlimen, penghantar notis dan pembantu operasi digabungkan sebagai satu skim perkhidmatan baharu berkelayakan SPM iaitu pembantu khidmat am serta diklasifikasi Perkhidmatan Kemahiran (H).

Manakala, penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu khidmat am. 

“Skim perkhidmatan pembantu perawatan kesihatan juga dinaik taraf ke skim perkhidmatan berkelayakan SPM dengan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan tersebut.

“Selain itu, skim perkhidmatan pengawal keselamatan dijumudkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pembantu keselamatan yang berkelayakan SPM,” menurut pekeliling disiarkan menerusi laman sesawang JPA semalam.

Pada masa sama, skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan PT3 atau PMR juga akan dimansuhkan dan penyandang sedia ada ditukar lantik ke skim perkhidmatan pengawas hutan dan pembantu hidupan liar berkelayakan SPM.

Sementara itu, pekeliling itu turut memaklumkan sebanyak 26 skim perkhidmatan berkelayakan SPM diperluaskan kelayakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) manakala 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia diperluaskan kelayakan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) serta Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM). 

Penetapan kelayakan TVET itu mengambil kira bidang-bidang bersesuaian dengan skop tugas dalam skim perkhidmatan berkaitan selain memberi peluang kepada calon berkemahiran menyertai perkhidmatan awam. 

Untuk makluman lanjut, boleh layari https://sspa.jpa.gov.my/index.php/pekeliling.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan