WILAYAH - UTARA > BERITA

SUKIPT 2024: UiTM Bawa Pulang 'Ibu Segala Pingat', Kalahkan UKM 2-1

14/09/2024 12:24 PM

SINTOK, 14 Sept (Bernama) -- Skuad bola sepak Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjulang ibu segala pingat Sukan Intitusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024, selepas menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2-1 di Stadium Universiti Utara Malaysia (UUM) malam tadi.

Pingat emas acara bola sepak SUKIPT 2024 merupakan yang ketiga dimenangi UiTM selepas melakukannya pada 2018 dan 2022.

Pada aksi final malam tadi, UiTM terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi tandukan kemas Ahmad Taufik Lukman pada minit ke-12 sebelum UKM menyamakan kedudukan apabila Muhammad Hadi Mohamad menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-38.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas wisel penamat sekali gus memaksa perlawanan diteruskan dalam masa tambahan.

Muhammad Fakrur Radzi Khairi Anuar muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan UiTM pada minit ke-114 sekali gus mengesahkan pingat emas dibawa pulang.

Pingat gangsa acara bola sepak dimenangi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengecewakan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1 dalam satu lagi perlawanan penentuan.

Sementara itu, ketua jurulatih UiTM Mohd Yazli Yahya berkata pasukannya tampil dengan muka baharu namun telah mempamerkan kesungguhan tinggi untuk mempertahankan pingat emas dimenangi UiTM buat kali ketiga berturut-turut.

"Saya bersyukur dengan kemenangan kali ketiga ini dan saya lihat pemain baharu yang diturunkan bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan walaupun kami sedar lawan kami bukanlah pasukan biasa.

“Walaupun pada saingan separuh akhir semalam kami bermain hingga masa tambahan, tetapi saya optimis pemain saya boleh kembali beraksi dengan baik di pentas akhir…apa yang kami rancangkan dari segi kecergasan hingga hujung acara bola sepak ini adalah mengikut apa telah ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan