WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Perkukuh Kerjasama Dengan UNCTAD, Kaji Semula Perundangan E-dagang - Armizan

14/09/2024 01:03 PM

KUALA LUMPUR, Sept 14 (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh bekerjasama dengan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) bagi kajian semula perundangan berkaitan e-dagang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata hasrat untuk mendapatkan perkhidmatan badan dunia yang memiliki pengalaman dan kepakaran itu telah dikemukakan dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung UNCTAD Rebeca Grynspan di Geneva, Switzerland hari ini.

Pertemuan berkenaan turut dihadiri Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Nadzirah Osman.

“Dalam pertemuan ini, UNCTAD telah memberikan persetujuan secara prinsip. UNCTAD juga menyatakan bahawa usaha ini sejajar dengan dengan fokus badan dunia itu untuk membantu negara membangun bagi mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi digital dan sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi.

“KPDN berharap melalui kerjasama dengan UNCTAD ini akan dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baru e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

UNCTAD adalah badan tetap antara kerajaan ditubuhkan di bawah PBB yang  bertanggungjawab bagi menggalakkan perdagangan serta pembangunan di negara-negara membangun.

Badan dunia itu memainkan peranan untuk menyokong negara membangun melalui perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, kajian analisis dan pembangunan kapasiti.

“Sebagai sebuah negara ahli, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dan memanfaatkan perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh UNCTAD sejak sekian lama.

“Di peringkat KPDN, jalinan kerjasama dan penglibatan sedia ada dengan UNCTAD adalah melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam aspek penggubalan dan penguatkuasaan polisi dan perundangan berkaitan persaingan,” katanya.

Sementara itu, Armizan berkata KPDN sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang.

Perundangan terlibat adalah Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan PeraturanPeraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.

Beliau berkata Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Keempat Rancangan Malaysia Ke-12 (RP4 RMK-12) itu telah bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Mac 2025.

Selain itu, beliau berkata maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati nilai pendapatan industri e-dagang di Malaysia pada 2022 telah meningkat enam peratus kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.03 trilion pada 2021.

Justeru, beliau berkata KPDN terus komited untuk memastikan pembangunan ekonomi domestik yang seimbang termasuk melindungi kepentingan pengguna dan pada masa sama memastikan industri e-dagang dapat terus berkembang pesat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan