WILAYAH - SELATAN > BERITA

Polis Turut Bersiap Siaga Hadapi Banjir Pada PRK Mahkota

14/09/2024 02:01 PM

KLUANG, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut bersiap siaga berhadapan dengan situasi banjir pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, selain bersedia melaksanakan tugasan harian sebagaimana ketika mengawasi pilihan raya di kawasan yang lain.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata 38 pegawai dan anggota telah bersedia untuk mengatur gerak kerja sekiranya berlakunya banjir semasa waktu berkempen, mahupun ketika proses pengundian pada 28 Sept.

Beliau berkata kelengkapan PDRM selain pegawai serta anggota telah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, untuk berhadapan dengan situasi berkenaan.

“Bot dan lori PDRM telah diletakkan di IPD Kluang bersama tenaga kerja dan akan bertindak sekiranya banjir berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Proses Penamaan Calon PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, hari ini.

Kumar berkata semasa proses penamaan calon hari ini, 1,027 pegawai dan anggota telah ditugaskan bagi menjamin kelancaran proses itu, yang melibatkan kira-kira 15,000 penyokong daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen, seramai 772 pegawai dan anggota daripada IPK Johor, IPD Kluang dan IPD yang berhampiran akan ditempatkan bersama-sama lima unit MPV serta 10 unit URB.

“Kita juga akan memudah cara proses perjalanan demokrasi tetapi memberikan amaran keras ketika keghairahan berkempen, jangan sekali-kali menyentuh isu 3R (agama, perkauman dan institusi diraja) dan perlu  mematuhi undang-undang,” katanya.

Terdahulu, pada penamaan calon yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail pagi tadi, dua calon disahkan bertanding iaitu calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dan calon PN Mohamad Haizan Jaafar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 28 Sept sebagai hari pengundian, manakala 24 Sept bagi pengundian awal dan bermula hari ini sehingga 11.59 malam 27 Sept sebagai tempoh berkempen bagi PRK DUN Mahkota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan