WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DOF Cipta Rekod MBOR Hasilkan Formasi Sandwic Tuna Sempena 100 Tahun MAHA

14/09/2024 06:51 PM

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menghasilkan formasi sandwic tuna ‘100 Tahun MAHA 2024’ sepanjang 100 meter persegi, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad yang menyaksikan penerimaan pengiktirafan itu berkata penghasilan formasi sandwic tuna ‘100 TAHUN MAHA 2024’ itu julung kali dihasilkan di Malaysia dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau berkata penyediaan sandwic itu dijayakan oleh pelajar serta petugas Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM bersama-sama pegawai serta staf DOF.

Mohamad berkata pemilihan tuna bagi penghasilan sandwic itu adalah bagi mempromosikan mengenai khasiat ikan tuna yang kaya dengan protein, Omega 3 serta Vitamin B dan D kepada pengunjung yang hadir ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

“Formasi ini menggunakan 8,000 sandwic dan akan diagih secara percuma kepada semua pengunjung di Laman Perikanan hari ini,” katanya.

Sebagai simbolik MAHA edisi ke-100, Mohamad turut melepaskan100 induk ikan asli yang terdiri daripada lapan spesies bernilai RM13,000 ke Tasik MAEPS.

MAHA 2024 bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ berlangsung selama 12 hari bermula 11 Sept lepas, dengan sasaran kehadiran tiga juta pengunjung dan kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan