WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Berikan Kewarganegaraan Jepun Kepada Anak Pelarian Afghanistan

14/09/2024 07:12 PM

NAGOYA (Jepun), 14 Sept (Bernama-Kyodo) -- Sebuah mahkamah tinggi di sini telah memberikan kebenaran kepada seorang bayi perempuan pasangan pelarian Afghanistan  yang lahir di negara ini untuk diberikan kewarganegaraan Jepun dan membatalkan keputusan mahkamah keluarga sebelum ini, lapor Agensi Berita Kyodo.

Keputusan Mahkamah Tinggi Nagoya pada Rabu itu berkemungkinan menjadi yang pertama bagi anak kepada ibu bapa Afghanistan dibenarkan membuat daftar keluarga baharu di Jepun, kata peguam Yasuyuki Nagai, yang menyifatkannya sebagai satu langkah besar.

Di bawah Akta Kewarganegaraan Jepun, seorang kanak-kanak dianggap warganegara Jepun jika mereka dilahirkan di Jepun dan sama ada kedua-dua ibu bapanya tidak diketahui atau, jika diketahui, kedua-duanya tidak mempunyai kewarganegaraan.

Hakim Yasuhiro Hasegawa berkata dalam keputusannya bahawa ibu bapa kanak-kanak perempuan itu secara efektif tidak bernegara ketika anak mereka dilahirkan di Jepun pada 2022, kerana Afghanistan telah kehilangan kedudukan antarabangsa selepas Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Di Jepun, hanya sembilan orang dari Afghanistan yang dilanda perang diberikan status pelarian pada 2021, tetapi jumlah itu meningkat kepada 147 pada 2022 dan 237 pada 2023, menurut Agensi Perkhidmatan Imigresen.

"Kita boleh menjangkakan peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang dilahirkan daripada ibu bapa yang melarikan diri dari negara mereka, jadi ini adalah keputusan besar," kata Nagai.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan