WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LPNM, UMT Hasilkan Komik Hana Dan Dunia Nanas, Sebar Luas 1001 Manfaat Nanas

14/09/2024 08:31 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

SERDANG, 14 Sept (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), berganding bahu menghasilkan sebuah komik kanak-kanak mengenai pelbagai khasiat dan kegunaan buah nanas.

Bertajuk Hana dan Dunia Nanas, komik tersebut berkisahkan aktiviti seorang kanak-kanak perempuan bernama Hana, yang mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi dan emak saudaranya Cik Bah, seorang penyelidik yang telah mendedikasikan hidupnya mengkaji tentang nanas.

Menceritakan tentang inti pati Hana dan Dunia Nanas, pengarang komik iaitu Prof Dr Fadzilah @ Adibah Abdul Majid, seorang pensyarah di UMT berkata komik itu bertujuan meyampaikan kepada masyarakat, terutamanya kanak-kanak mengenai pelbagai khasiat kesihatan dan kegunaan nanas, yang mungkin tidak diketahui ramai menerusi medium yang mudah difahami.

“Nanas kaya dengan enzim Bromelain, membuatkan buah itu mempunyai keupayaan mengurangkan masalah kesihatan seperti bronkitis, keradangan di seluruh badan dan batuk.

“Sisa buah ini boleh dijadikan pelbagai produk, jadi nanas ini sifar sisa. Inilah yang kita hendak ketengahkan kepada kanak-kanak, supaya mereka menjadi generasi yang lestari dan celik akan manfaat nanas,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan komik Hana dan Dunia Nanas, sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini, semalam.

Mengulas mengenai kerjasama dalam menerbitkan komik tersebut, Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi LPNM Elmie Adha Ismail berkata penerbitan itu, bertujuan melahirkan generasi yang berminat untuk berkecimpung dalam sektor makanan dan tanamam berasaskan nanas.

“Banyak produk yang LPNM bangunkan bersama pengusaha, usahawan dan pemain industri. Namun orang ramai kurang mendapat hebahan atau mengetahui tentang apa yang LPNM laksanakan.

“Oleh sebab itu, kami bekerjasama dengan Prof Adibah, yang sememangnya kami kenali sebagai seorang penyelidik yang banyak membuat kajian kajian tentang nanas, untuk menghasilkan sebuah komik yang menyasarkan kanak-kanak,” katanya.

Elmie Adha berkata kerjasama tersebut dilaksanakan menerusi peruntukan insentif untuk tujuan promosi dan publisiti di bawah Program Pembangunan Produk Nanas Berinovasi.

Beliau berkata usaha untuk menarik minat kanak-kanak dari awal adalah penting, bagi melahirkan generasi pelapis yang akan meneruskan keberhasilan sektor agromakanan dan bioteknologi negara.

“Sebabnya ialah dunia pertanian pada masa kini sememangnya akan kembali kepada golongan muda dan kita perlu menanam minat mereka bermula daripada kanak-kanak.

“Supaya nanti apabila mereka habis belajar, mereka ada sasaran untuk menjadikan industri pertanian khususnya nanas sebagai satu kerjaya dan faham bahawa industri ini berpotensi menjana pendapatan yang lumayan,” katanya.

Elmie Adha berkata perkara ini adalah sebahagian daripada usaha besar LPNM untuk mempromosikan dunia nanas kepada golongan muda, selain memberikan geran percuma kepada agropreneur muda bawah 40 tahun untuk memulakan ataupun menambah baik projek pertanian nanas.

“Kita juga ada program kebitaraan, yang LPNM berkerjasama dengan sekolah dan institut pengajian tinggi, konsepnya kita membuat penanaman ataupun memberi bantuan dan insentif kepada sekolah dari segi benih dan baja, supaya mereka boleh memulakan projek tanaman nanas sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan