WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ARRC: Hafizh Syahrin Terlepas Podium Di Sepang, Helmi Raih Kemenangan Pertama

14/09/2024 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pelumba negara Hafizh Syahrin Abdullah terlepas meraih kedudukan podium pada Perlumbaan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini. 

Walaupun memulakan perlumbaan pertama dengan lima pusingan itu di petak pertama bagi kategori Asian Superbike 1000cc, pelumba JDT Racing Team tersebut hanya mampu meraih tempat kelima dengan catatan masa 25 minit dan 38.191 saat (s) 

Pelumba Jepun Yuki Kunii daripada  SDG Team HARC-PRO Honda Ph mengungguli perlumbaan dengan catatan 25:31.250s, diikuti seorang lagi pelumba Malaysia Azlan Shah Kamaruzaman (25:34.412s) daripada TKKR BMW Racing Team dan pelumba Thailand Nakarin Atiratphuvapat (25:36.101s) daripada Honda Asia-Dream Racing  Astemo.

 Hafizh Syahrin yang memimpin perlumbaan hingga pusingan kedua, mengalami sedikit gegaran yang membolehkan Yuki dan Azlan memintas bekas pelumba MotoGP itu manakala Nakarin mendahului beliau di pusingan kelima. 

“Sejak semalam saya berasa sangat selesa dengan motosikal saya dan litar serta yakin dengan kelajuan saya. Walaupun Hafizh mencatat masa yang luar biasa dalam kelayakan, saya tahu kekuatan saya adalah dalam perlumbaan.  

“Saya hanya fokus pada prestasi saya dan akhirnya saya meraih kemenangan. Saya sangat gembira lebih-lebih lagi kerana kedudukan saya dalam kejuaraan ini semakin baik,” kata Yuki dalam kenyataan menjelang Perlumbaan 2, esok.  

Sementara itu, pelumba asal Selangor Muhammad Helmi Azman daripada Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team meraih kemenangan pertama pada musim ini dalam kategori SuperSport 600cc dengan catatan 21:54.779s.

Dua pelumba Thailand Apiwath Wongthananon (21:55.511s) daripada Yamaha Tekhne Racing Team ASEAN dan Kiattisak Singhapong (22:04.425s) daripada Honda Racing Thailand melengkapkan senarai podium.

“Saya yakin dengan kelajuan saya dan tahu saya boleh laju lagi, jadi saya fokus mengekalkan kawalan jentera. Terima kasih kepada semua yang telah menyokong saya dan kemenangan ini adalah untuk semua,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan