WILAYAH - TENGAH > BERITA

Perwakilan Persoal Kesungguhan PAS Dalam Perjuang Nilai Integriti, Amanah 

14/09/2024 10:58 PM

TEMERLOH, 14 Sept (Bernama) -- Seorang perwakilan PAS hari ini mempersoalkan kesungguhan parti itu dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah.

Perwakilan dari Perlis Mohd Saifizi Saidon berkata ini kerana hingga kini tiada sebarang laporan atau perancangan diterima daripada Badan Perhubungan PAS negeri mahupun PAS pusat berkaitan isu Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan anaknya Mohd Syafeeq yang terpalit dengan salah guna kuasa.

“Isu menteri besar dan anak menteri besar Perlis yang terpalit dengan salah guna kuasa hingga melibatkan institusi diraja telah memberi kesan buruk kepada PAS. 

“Malangnya hingga kini PAS Perlis tidak menerima sebarang laporan atau perancangan tentang isu ini, di mana kesungguhan kita dalam memperjuangkan nilai integriti dan amanah dibawa Rasulullah SAW,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Muktamar PAS ke-70 di sini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan parti agar lebih teliti dan komited dalam memilih calon menteri besar dan exco kerajaan negeri dengan kawalan serta panduan yang lebih ketat.

Mohd Saifizi berkata pucuk pimpinan PAS pusat perlu memastikan pemimpin dibentuk berdasarkan acuan Rasulullah SAW bagi memastikan lahirnya pemimpin yang bersifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah.

“Kita tidak mahu individu yang menerajui kerajaan dipilih kerana pesuruhjaya (PAS negeri) ataupun kedudukan politik, kepimpinan harus mentadbir kerana mereka amanah dan bijak bukan sekadar mampu berpolitik. 

“PAS kini kelihatan semakin jauh daripada asas kualiti kepimpinan Islam apabila terdapat pemimpin yang berkaraoke dipertahankan oleh ulama PAS malah ada yang bersalam dengan wanita namun tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Sementara itu, perwakilan sayap Ameerah Malaysia Dr Siti Aminah Muhammad Imran berkata PAS tidak boleh hanya berdiam diri dalam isu membabitkan keganasan terhadap wanita dan masalah sosial generasi muda.

Dalam perbahasannya bertajuk ‘Mendepani Cabaran Terkini’, beliau berkata PAS perlu memberi respons dan reaksi yang sepatutnya terhadap isu sedemikian.

“Muslimin (lelaki) yang berada di depan saya ini perlu bersama-sama muslimat (wanita) apabila ada isu berkaitan wanita, jangan biarkan wanita sahaja yang bersuara, jangan biarkan wanita sahaja yang bangun,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan