WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Sarawak Rancang Penubuhan Kolej Teknikal Islam - Abang Johari

17/09/2024 11:38 AM

MUKAH, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan menubuhkan sebuah kolej teknikal Islam bagi memberi peluang kepada anak-anak Islam di negeri itu melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang teknikal di samping mempelajari ajaran al-Quran, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tanpa memberikan butiran lanjut, beliau berkata ilmu akhirat dan dunia hendaklah dipelajari agar dapat mengangkat martabat agama Islam supaya masyarakat Islam dihormati dan dicontohi orang lain.

“Kita menjalankan dakwah melalui apa yang disebut sebagai dakwah bil hal (dakwah melalui contoh teladan dan akhlak yang baik). Kita hendaklah melaksanakan tugas seperti dikehendaki oleh agama kita serta menjadi contoh dan seterusnya mengekalkan kehidupan dan menaik taraf kedudukan kita melalui pendidikan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak Tahun 1446/2024M di Dataran Setia Raja di sini hari ini.

Abang Johari turut berterima kasih kepada semua umat Islam Sarawak kerana telah bersama-sama kerajaan dalam menjaga perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu.

Majlis perhimpunan dan perarakan itu disertai sebanyak 122 kontinjen jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan badan-badan bukan kerajaan.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta pemimpin kerajaan yang kemudiannya turut serta di dalam perarakan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan