WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Azalina Terima Anugerah GIGA, Peranan Dalam Agenda Reformasi Timbang Tara Diiktiraf

18/09/2024 02:29 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dinobatkan sebagai penerima anugerah 'Global Islamic Finance Awards (GIFA) Special Award 2024 for Leadership in Legislative and Institutional Reforms related to Islamic Finance’, semalam.

Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan anugerah tersebut diberikan GIFA kepada Azalina atas peranan dan sumbangan beliau dalam agenda reformasi timbang tara, terutamana yang melibatkan kewangan Islam. 

"Jawatankuasa Anugerah GIFA juga turut mempertimbangkan beberapa  personaliti lain. Setelah pertimbangan dan perbincangan terperinci, jawatankuasa tersebut telah memutuskan bahawa anugerah ini diberikan kepada beliau (Azalina) berdasarkan beberapa kriteria dalam metadologi GIFA," menurut kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan Ketua Pengarahnya Datuk Zamri Misman telah mewakili Azalina untuk menerima anugerah terseut di Maldives semalam, memandangkan Azalina kini berada di Perancis bagi menghadiri perbicaraan kes tuntutan Sulu.

Menurut BHEUU, GIFA adalah antara anugerah kewangan Islam yang paling berprestij di dunia dan badan itu sejak awal penubuhannya telah memberi pengiktirafan kepada beberapa ketua negara dan ketua kerajaan atas sokongan dan dukungan mereka kepada perbankan dan kewangan Islam melalui Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global.

Antara tokoh yang pernah dianugerahkan Anugerah Kepimpinan  Kewangan Islam Global oleh GIFA termasuk Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia Joko Widodo. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan