WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Capital A, PT Garuda Indonesia Labur US$12 Juta Jalin Kerjasama Dalam MRO Peralatan Pendaratan

18/09/2024 10:44 PM

Daripada Soraya Jamal

BALI, 18 Sept (Bernama) --  Anak syarikat Capital A Bhd, Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) dan PT Garuda Maintenance Facility Aero Asia Tbk (GMF) memeterai kerjasama strategik bagi perniagaan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) peralatan pendaratan baharu dengan gabungan pelaburan berjumlah US$12 juta (US$1 = RM4.25).

GMF adalah anak syarikat PT Garuda Indonesia (Persero) Tbk.

Menerusi perjanjian itu, ADE akan memegang 49 peratus kepentingan dalam usaha sama tersebut yang merupakan pencapaian penting bagi kedua-dua syarikat apabila mereka menggabungkan kekuatan masing-masing untuk menetapkan penanda aras baharu dalam perkhidmatan peralatan pendaratan di seluruh Asia Tenggara.

"Usaha sama itu akan membolehkan kedua-dua syarikat meningkatkan volum dan menjadi salah satu kemudahan penyenggaraan peralatan pendaratan utama di dunia, bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada Garuda dan AirAsia tetapi juga syarikat penerbangan lain," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata demikian semasa majlis menandatangani kerjasama tersebut di luar acara Pertunjukan Udara Antarabangsa Bali 2024 (BIAS) yang julung kalinya diadakan di sini, hari ini.

Pelaburan ini membolehkan ADE dan GMF meluaskan tawaran perkhidmatan mereka dan memanfaatkan pasaran peralatan pendaratan yang semakin berkembang di Asia Tenggara, dengan menggunakan keupayaan kejuruteraan ADE dan kepakaran GMF yang mantap.

Kerjasama itu, yang merupakan kesinambungan daripada perkongsian antara Capital A dan Garuda yang pertama kali diumumkan pada September 2023, bertujuan untuk menyediakan penyelesaian peralatan pendaratan bertaraf dunia kepada syarikat penerbangan di seluruh rantau ini.

“Kedua-dua syarikat adalah peneraju dalam penyenggaraan pesawat, dan kini kami berkembang ke dalam perkhidmatan komponen.

“Dengan mengekalkan pelaburan dalam ASEAN, kita boleh berkembang lebih pantas dan, yang paling penting, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.Ini hanyalah langkah pertama daripada banyak lagi kerjasama,” kata Fernandes.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GMF, Andi Fahrurrozi berkata pelaburan itu akan digunakan untuk membangunkan keupayaan baharu, dengan operasi dijangka bermula awal tahun depan.

"Kemudahan penyenggaraan peralatan pendaratan yang kini menyediakan perkhidmatan bagi platform Airbus A320 dan Boeing 737, sedia untuk beroperasi," katanya.

GMF menyediakan perkhidmatan baik pulih dan penyenggaraan peralatan pendaratan yang komprehensif, termasuk pembongkaran penuh, pemeriksaan, pembaikan dan pemasangan semula komponen.

Sementara itu, hangar 14-line MRO ADE kini beroperasi sepenuhnya dan produk digitalnya mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Pelaburan dalam perniagaan peralatan pendaratan GMF ini adalah langkah strategik untuk mempercepat pertumbuhan dan mengukuhkan kedudukan ADE sebagai peneraju dalam sektor MRO penerbangan," kata Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan